X

Kindly register in order to view this article
!

14 taska awam di Pulau Pinang beroperasi semula hari ini

Pulau Pinang membenarkan 14 taska di tempat kerja awam di seluruh negeri itu beroperasi bermula 1 Jun depan.
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak 14 buah taman asuhan kanak-kanak (taska) di tempat kerja awam di Pulau Pinang yang ditutup lebih dua bulan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan beroperasi semula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam negeri, Chong Eng berkata, pembukaan semula 14 buah taska itu dibuat selepas mengambil kira pandangan ibu bapa yang memohon untuk menghantar anak mereka apabila kembali bekerja.

"Kita akan terus memantau dalam minggu pertama ini dan kita akan melihat sejauh mana tahap pencapaian pembukaan semula taska semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPB di Taska D'Komtar di sini hari ini.

Beliau berkata, sekiranya pematuhan SOP PKPB di semua taska awam terlibat di tahap memuaskan dan baik, pihaknya akan mempertimbangkan untuk turut membenarkan taska sektor swasta beroperasi semula.

"Kita kena lihat dulu minggu ini bagaimana, taska pun hanya 15 kanak-kanak sahaja yang dibenarkan. Saya juga ingin menasihatkan ibu bapa jika terdapat kanak-kanak lebih dari 15 orang di taska, maka salah seorang sama ada ibu atau bapa perlu bekerja dari rumah untuk menjaga anak," katanya yang tidak menolak kemungkinan taska awam boleh ditutup semula sekiranya gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

Antara taska awam yang dibuka hari ini adalah Taska Mutiara Penyayang, Taska Bunga Tanjung, Taska Indah Rohani, Taska Hospital Balik Pulau, Taska Graduan Kecil dan Taska Penjara Seberang Perai.

Sementara itu tinjauan Bernama di Taska D'Komtar mendapati ibu bapa tidak dibenarkan masuk ke dalam taman asuhan berkenaan dan pengusaha taska mengambil bacaan suhu anak-anak serta ibu bapa di samping mengambil maklumat lengkap mereka selain turut menyediakan cecair pembasmi kuman di pintu masuk taska.

Pengusaha Taska D'Komtar, V Philomene berkata, pihaknya juga telah mengubah suai taska mengikut SOP yang ditetapkan dengan setiap meja makan dan tempat tidur bagi kanak-kanak itu masing-masing mempunyai jarak satu meter.

"Setakat ini ibu bapa akan maklumkan lebih awal, tarikh mereka akan menghantar anak dan dari situ kita akan dapat tahu jumlahnya. Kebanyakan ibu bapa sangat memahami," katanya, sambil menambah lapan kanak-kanak hadir di taska itu hari ini dan taska itu memiliki seramai 31 murid keseluruhannya.

Bagi seorang pensyarah, Nor Affendy Mohd Nor,32, beliau merasa lega apabila taska itu kembali dibuka kerana ia memudahkan urusannya apabila perlu melakukan tugasan luar.

"Saya diberi kelonggaran untuk bekerja dari rumah, namun ada masa saya perlu juga ke pejabat untuk kerja pentadbiran. Bila taska sudah boleh buka, Alhamdulillah, sebab isteri saya bekerja sepenuh masa kerana dia berkhidmat dalam bidang perubatan. Tidak timbul soal risau kerana kita percaya pihak taska juga mengambil langkah ketat dan mengikut SOP," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus