X

Kindly register in order to view this article
!

Seksyen 17A Akta SPRM 2009 berkuatkuasa hari ini

SPRM
A
A

PUTRAJAYA - Peruntukan undang-undang baharu, Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Pindaan 2018) yang memperuntukkan kesalahan rasuah oleh organisasi komersial mula berkuat kuasa hari ini.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, tarikh penguatkuasaan ini telah dikeluarkan melalui kuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan menerusi Warta Kerajaan Persekutuan P.U (B) 247 bertarikh 27 Mei 2020.

"Sebelum ini, Parlimen telah meluluskan pindaan akta berkenaan pada 5 April 2018 dan diwartakan pada 4 Mei 2018. Kerajaan turut membenarkan penangguhan tempoh dua tahun diberikan kepada organisasi komersial mulai tarikh tersebut bagi melakukan persediaan sewajarnya sebelum peruntukan undang-undang baharu berkenaan dikuat kuasa sepenuhnya.

"Peruntukan undang-undang yang juga dikenali sebagai liabiliti korporat ini ialah untuk menggalakkan aktiviti perniagaan dijalankan dengan integriti tanpa rasuah dan mempromosi amalan tadbir urus baik dalam organisasi dan bukan bertujuan untuk menghukum organisasi komersial semata-mata," katanya hari ini.

Katanya, menerusi Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Pindaan 2018), organisasi komersial juga mempunyai liabiliti dan boleh dihukum sekiranya pekerja atau pihak bersekutunya terlibat dengan jenayah rasuah.

"Organisasi komersial tersebut boleh disifatkan bersalah dalam keadaan sama ada pihak pengurusan atasannya atau wakilnya tahu tentang kelakuan rasuah yang dilakukan oleh pekerja atau pihak bersekutunya.

"Jika sesebuah organisasi komersial disabit kesalahan, hukuman di bawah Seksyen 17A(2) adalah denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, atau dipenjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Bagaimanapun, katanya, organisasi komersial boleh membela diri jika dapat menunjukkan bahawa organisasi tersebut mempunyai tatacara mencukupi yang telah dilaksanakan bagi mencegah berlakunya rasuah dalam operasi atau aktiviti perniagaan mereka.

"Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan peruntukan undang-undang baharu ini boleh melayari portal rasmi SPRM di https://www.sprm.gov.my/ manakala bagi mendapatkan garis panduan tatacara mencukupi pula, boleh melayari pautan http://giacc.jpm.gov.my/garis-panduan-tatacara/," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus