X

Kindly register in order to view this article
!

Ulang tahun TUDM ke-62 disambut dalam normal baharu

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA- Hari ulang tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ke-62 hari ini, disambut dalam normal baharu menggunakan platform media sosial, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, tiada lagi sambutan seperti kebiasaan dibuat, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung wabak koronavirus (Covid-19).

“Tiada lagi istiadat perbarisan, tiada lagi perhimpunan beramai-ramai, maka sambutan secara kecil-kecilan (bukan daripada segi perhimpunan) tetapi menggunakan media elektronik dan sebagainya.

“Tadi saya difahamkan oleh Panglima TUDM Jenera; Datuk Seri Ackbal Samad, di mana perutusan khas beliau mengenai Hari Ulang Tahun TUDM disampaikan melalui secara dalam talian atau maya,” katanya pada sidang media harian perkembangan PKPB, di sini.

Oleh yang demikian, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, warga TUDM terpaksa mematuhi normal baharu ini, dalam menyambut hari ulang tahun pasukan itu.

Ismail Sabri berkata, TUDM hari ini genap memasuki fasa usia 62 tahun dan menjadi kuasa udara yang disegani di rantau ini.

“Dengan tema ulang tahun TUDM, 'Berupaya Bersiaga, Kedaulatan Terjaga', ia pastinya dapat menyemarakkan semangat warga TUDM, untuk terus menjalankan amanah dalam memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara dan dalam keadaan berupaya siaga.

“Saya berharap warga TUDM akan terus komited, bersedia dan cemerlang, dalam pelaksanaan tugas yang telah diamanahkan,” katanya.

Sementara itu, mengenai sekatan jalan raya sama ada akan diteruskan selepas tamat PKPB atau sebaliknya, Ismail Sabri berkata, setakat ini kerajaan belum memutuskan perkara itu kerana masih dalam perbincangan.

“Oleh itu, kita akan melihat sama ada sekatan rentas negeri itu akan diteruskan atau tidak, bergantung kepada keputusan PKPB diteruskan atau tidak selepas 9 Jun nanti,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai permohonan aplikasi Gerak Malaysia sama ada ia dibuka dalam tempoh PKPB ini, Ismail Sabri berkata, ia tidak dibuka, sebaliknya orang ramai perlu mendapatkan kebenaran polis untuk merentas negeri.

“Dulu kita pakai aplikasi Gerak Malaysia kerana pada waktu itu melibatkan pergerakan serentak yang ramai pada satu-satu masa, iaitu 1 juta permohonan, tetapi pada waktu sekarang (tempoh PKPB) pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan, selain empat sebab yang dibenarkan sebelum ini.

“Jadi kita hanya boleh memohon pergerakan rentas negeri dengan membuat permohonan kepada balai polis berdekatan,” katanya.-Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus