'Tiada lagi orang datang bergambar'

Sampah sarap yang mencemari sungai di Rumah Awam 1 Pulau Gadong, Klebang Besar. Gambar kecil, Jaliah (kiri) dan Mahadi.
Sampah sarap yang mencemari sungai di Rumah Awam 1 Pulau Gadong, Klebang Besar. Gambar kecil, Jaliah (kiri) dan Mahadi.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Penduduk Rumah Awam 1 Pulau Gadong, Klebang Besar di sini, kesal apabila sungai berhampiran taman perumahan itu dicemari dengan pelbagai sisa pepejal termasuk sampah sarap yang tidak terkawal.

Penduduk, Jaliah Abdul, 58, berkata, beliau yang mendiami taman berkenaan sejak enam tahun lalu sedih melihat keadaan yang berlaku.

Menurutnya, beberapa tahun lalu kawasan itu sering menjadi lokasi pasangan pengantin mengabadikan gambar kenangan namun kini keadaannya makin tidak terurus selain dipenuhi semak.

Katanya, sejak sungai itu tercemar, beliau terpaksa menutup pintu belakang rumah kerana bimbang dengan ancaman haiwan liar selain tidak tahan bau yang kurang menyenangkan lebih-lebih lagi jika tidak hujan.

"Dulu ramai yang suka datang ke sini untuk bergambar dan memancing namun dengan keadaan sekarang kawasan ini semakin terbiar dan tidak terjaga," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini semalam.

Idris meninjau keadaan sungai di Rumah Awam 1 Pulau Gadong, Klebang Besar semalam.
Idris meninjau keadaan sungai di Rumah Awam 1 Pulau Gadong, Klebang Besar semalam.

Hadir sama, Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Seri Idris Haron dan Pengerusi Pertubuhan Pembela Klebang Besar, Datuk Mohd Yusop Abu Hasan.

Seorang lagi penduduk, Mahadi Yusof, 43, turut mengakui situasi itu dan meminta pihak berwajib segera bertindak untuk mengelakkan pencemaran sungai berlaku lebih teruk.

Artikel Berkaitan:

"Suatu masa dulu sungai inilah tempat kami bermandi-manda dan menangkap ikan. Penduduk juga diharap dapat bersama-sama menjaga dan tidak membuang sampah ke dalam sungai," katanya.

Sementara itu, Idris yang turun padang meninjau kawasan itu berkata, pihaknya akan segera membawa perkara berkenaan ke pihak yang bertanggungjawab untuk melakukan penyelenggaraan dengan kadar segera.

Menurutnya, sungai merupakan anugerah alam yang perlu dipelihara dan semua pihak harus bertanggungjawab menjaganya agar ia tidak membawa bencana kepada manusia.