APMM rampas RM2.67 juta dadah di Muar

Sanifah (tengah) menunjukkan serbuk dadah dipercayai syabu dan pil ekstasi yang dirampas dalam Op Benteng di Muar, pada sidang akhbar di Ibu Pejabat APMM Johor, Johor Bahru hari ini.
Sanifah (tengah) menunjukkan serbuk dadah dipercayai syabu dan pil ekstasi yang dirampas dalam Op Benteng di Muar, pada sidang akhbar di Ibu Pejabat APMM Johor, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor merampas dadah bernilai RM2.67 juta menerusi Op Benteng di muara Parit Samsu, Muar, hari ini.

Timbalan Pengarah (Operasi) APMM Johor, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, rampasan itu dilakukan dalam operasi jam 2.10 pagi melibatkan enam anggota dan sebuah bot APMM pada kedudukan kira-kira 1.5 batu nautika barat daya Parit Jawa.

"Semasa melakukan rondaan pemantauan kegiatan penyeludupan, kita terserempak dua lelaki dengan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

"Apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka mencampakkan dua buah guni dan bertindak melarikan diri dengan bot berkenaan ke kawasan hutan bakau berhampiran," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat APMM Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, bot APMM mengejar bot suspek yang kecil tetapi mereka berjaya meloloskan diri ke kawasan cetek dan paya bakau.

Sanifah menunjukkan kawasan rampasan dadah dalam Op Benteng di Muar yang menjadi lokasi panas kegiatan penyeludupan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat APMM Johor, Johor Bahru hari ini.
Sanifah menunjukkan kawasan rampasan dadah dalam Op Benteng di Muar yang menjadi lokasi panas kegiatan penyeludupan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat APMM Johor, Johor Bahru hari ini.

Pemeriksaan dalam guni pertama, pihaknya menemukan 24 bungkusan hitam yang mengandungi serbuk putih disyaki syabu seberat 24 kilogram.

Katanya, pemeriksaan guni kedua pula menemukan lapan bungkusan hitam disyaki pil ekstasi seberat 14.7 kilogram sebelum kedua-dua guni itu dibawa ke Pejabat Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, dadah berkenaan dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran dan kegiatan tersebut berkemungkinan ada kaitan dengan kes sebelum ini menerusi rampasan di muara Parit Jawa, Muar pada 21 Mei lalu.

Ini kerana katanya, modus operandi yang digunakan sama iaitu menggunakan bot nelayan untuk mengaburi mata pihak berkuasa, menyorokkan dadah dalam bungkusan plastik teh cina dan dimasukkan dalam guni.

Sanifah memberitahu, menerusi siasatan pihaknya, serbuk syabu itu dijual di pasaran pada harga RM80 hingga RM100 untuk setiap satu gram manakala pil ekstasi berharga RM20 hingga RM30 sebiji bergantung kepada kawasan dan kesukaran menyeludupnya.

Pihaknya kata Sanifah, akan mempertingkatkan lagi Op Benteng di Muar, Batu Pahat dan Pontian yang menjadi kawasan panas untuk menyeludup dadah, minuman keras dan barang terlarang lain.

Jelasnya, luas kawasan yang dijaga APMM Johor melibatkan 825 kilometer (km) panjang pantai atau 446 batu nautika dengan luas kawasan 23,428km atau 12,650 batu nautika dari Sungai Kesang, Muar hingga ke perairan Endau, Mersing.