Kerajaan negeri tambah peruntukan bantu usahawan di NS

Dr Mohamad Rafie Ab Malek
Dr Mohamad Rafie Ab Malek
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju menambah peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta untuk Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS).

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, keputusan ini telah dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, semasa mesyuarat bersidang pada bulan lalu.

Katanya, peruntukan tambahan ini adalah dasar keprihatinan kerajaan negeri terhadap pelbagai permasalahan dihadapi oleh usahawan-usahawan mikro khususnya penjaja kecil termasuk permasalahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat koronavirus (Covid 19) yang menjejaskan pendapatan mereka.

"Peruntukan ini adalah tambahan dari nilai RM5 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020, dari jumlah tersebut seramai 1,700 usahawan mikro dijangka mula menerima secara berperingkat bantuan geran bernilai sehingga RM3,000 setiap usahawan sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir.

"Pada tahun lalu, kerajaan negeri telah membelanjakan RM3 juta untuk TUNS dan seramai 1,046 usahawan mikro telah menerima manfaat geran ini. Alhamdulillah, kajian dilakukan menunjukkan bantuan geran ini telah memberi manfaat kepada penerima-penerima untuk mengembangkan perniagaan mereka,"katanya.

Tambah beliau, TUNS diwujudkan bagi membantu usahawan-usahawan mikro khususnya penjaja-penjaja kecil dalam usaha Kerajaan Negeri Sembilan untuk merangsang pembangunan ekonomi.

Kata Mohamad Rafie, TUNS adalah dalam bentuk geran, di mana usahawan mikro yang berjaya tidak perlu membuat bayaran semula kepada Kerajaan Negeri Sembilan.

"Usaha ini diperkenalkan buat pertama kali dalam sejarah pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan yang ditadbir melalui Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

"Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) akan diarahkan membuka semula penerimaan borang permohonan dalam tempoh terdekat ini, bagi permohonan baharu,"katanya.

Menurut beliau, peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta ini, diharap dapat membantu sekurang-kurangnya tambahan 333 usahawan mikro Negeri Sembilan.

" Insha-ALLAH, dengan peruntukan RM6 juta termasuk tambahan baru sebanyak RM1 juta bagi tahun 2020 ini, lebih 2,000 usahawan mikro di Negeri Sembilan dijangka dapat menikmati manfaat bantuan geran ini. Jumlah ini meningkat lebih 100 peratus berbanding 1,046 usahawan mikro yang menerima bantuan pada tahun 2019,"katanya.