Pengurus kelab didakwa mabuk, pukul polis, berkelakuan tidak senonoh

Tertuduh (kiri) ketika di luar mahkamah pagi tadi.
Tertuduh (kiri) ketika di luar mahkamah pagi tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR- Seorang pengurus kelab mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap empat pertuduhan iaitu memandu dalam keadaan mabuk, sengaja menyebabkan kecederaan, melakukan kekerasan jenayah kepada penjawat awam dalam menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh pada 21 Mei lalu.

Leng Khar Loon, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam dua kamar berasingan iaitu di hadapan Majistret, Puteri Nursheila Rahimi dan Majistret, Mageswary.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu kereta jenis Toyota Avanza dalam keadaan pengaruh alkohol iaitu 200 miligram/ 100 mililiter yang melebihi kandungan alkohol dibenarkan 80/100 mililiter di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Bulatan Bilion Cheras, pada jam 1 pagi, 21 Mei lalu.

Dia didakwa di bawah seksyen 45(1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM 6,000, dipenjara 12 bulan dan lesen memandu percubaan ditarik jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Abdullah Khazali.

Khar Loon kemudian didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohamad Radhie Yatim, 38, di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh menyebabkan tertuduh dihukum penjara boleh sampai setahun atau denda maksimum RM 2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan jenayah yang mana dia telah melakukan kekerasan jenayah kepada penjawat awam dalam menjalankan tugas.

Kali ini dia berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh juga didakwa melakukan merusuh dan tidak senonoh di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang mana boleh dikenakan denda tidak lebih RM 500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan ini ketika berada di bilik penguat kuasa Balai Trafik di Jalan Tun H.S Lee, pada jam 1 pagi, 21 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin.

Peguam, Tan Kian Peng memohon jaminan rendah ditawarkan terhadap tertuduh yang didakwa merupakan seorang bapa tunggal yang menanggung dua anak berusia 20 dan 10 tahun.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin masing-masing RM 4,000 dan RM 3,000 bagi pertuduhan dihadapinya.

Sebutan kes ditetapkan pada 1 Julai dan 21 Julai depan.