Hukum makan kek bentuk haiwan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Harus bagi umat Islam untuk membeli dan makan kek berbentuk haiwan atau mempunyai 'topping' berbentuk binatang selagi bahan yang digunakan adalah halal.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia kerana tujuan pembelian tersebut adalah untuk dimakan, bukan diagungkan.

Katanya, ia juga harus dimakan kerana kaedah menyebut bahawa 'asal bagi sesuatu adalah harus'.

"Ini bermakna selagi mana kandungan kek tersebut dibuat daripada bahan yang halal, maka ia harus dimakan.

"Jika daripada bahan yang haram, maka haram dimakan," katanya dipetik menerusi ruangan al-Kafi #1057: Hukum Makan Kek Berbentuk Haiwan.

Zulkifli berkata, secara asasnya, tidak dibenarkan mengukir atau melukis apa sahaja benda hidup secara lengkap berdasarkan beberapa hadis.

Namun katanya, illah daripada larangan tersebut adalah sebagai menutup pintu keburukan kerana ditakuti akan menjadi objek idola dan penyembahan.

"Bagaimanapun jika apa yang diukir itu bukan dengan bentuk yang tidak lengkap seperti tiada kepala, atau kepala separuh atau tiada tangan, maka dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga lukisan atau ukiran yang digunakan bukan dengan maksud untuk diagungkan atau dimuliakan seperti dijadikan bantal tidur, alas tilam dan lain-lain," katanya.

Jauhi kek lukisan haiwan diharamkan Islam

Dalam pada itu, Zulkifli turut menasihatkan umat Islam agar tidak membeli kek berbentuk lukisan haiwan yang diharamkan dalam agama itu iaitu khinzir atau anjing.

Katanya, ia dikhuatiri akan menjadi fitnah kepada diri sendiri sehingga menyebabkan orang berburuk sangka.

"Ini juga sebagai satu didikan dan tarbiah kepada anak-anak supaya jangan sampai mereka menyangka bahawa khinzir dan anjing halal dimakan.

"Ia sebagaimana kaedah iaitu 'Sesiapa yang sengaja buat sesuatu yang mendatangkan fitnah, maka dia akan dituduh (buat perkata tersebut'," katanya.