X

Kindly register in order to view this article
!

Panggilan kecemasan kes tebuan, lebah meningkat

Md Hilman memeriksa pakaian bomba untuk operasi memusnahkan sarang tebuan dan lebah.
A
A

KUALA TERENGGANU - Orang ramai diingatkan mengambil langkah pencegahan sewajarnya susulan peningkatan panggilan kecemasan membabitkan kes tebuan dan lebah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, pihaknya menerima 106 kes membabitkan tebuan dan lebah.

Bagaimanapun, katanya, jumlah kes memuncak pada bulan Mei iaitu sebanyak 44 kes.

"Pada Januari, pihak kami menerima 19 kes, Februari sebanyak 11 kes, Mac (17) dan April (15). Peningkatan kes ini kita percaya mungkin disebabkan perubahan cuaca.

"Selain itu, sebelum ini, orang ramai ambil tindakan sendiri memusnahkan sarang tebuan atau lebah di kawasan kediaman dan ini antara punca menyebabkan berlaku peningkatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Jentera Fire Response Vehicle (FRV) JBPM Terengganu di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak terkena lebih 60 sengatan tebuan meninggal dunia

Jelas Md Hilman, orang ramai khususnya ibu bapa perlu memantau anak masing-masing ketika bermain dan sentiasa memeriksa kawasan kediaman bagi memastikan ia bebas daripada haiwan berbisa termasuk lebah dan tebuan.

Katanya, tebuan terutama spesis tebuan tanah bukan sahaja mampu membuat sarang baharu di atas tanah namun di lokasi tinggi yang berada di luar kediaman dalam masa singkat.

"Jika terjumpa sarang, kita nasihatkan agar mendapatkan bantuan daripada agensi penyelamat berkaitan dan profesional untuk tindakan memusnahkan sarang.

“Kita dan agensi penyelamat lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mempunyai kepakaran terlatih dan peralatan bagi memusnahkan sarang spesis itu," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!