Bomba Terengganu perlu tambahan 11 jentera

Md Hilman (tengah) melihat jentera yang diterima.
Md Hilman (tengah) melihat jentera yang diterima.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu memerlukan tambahan 11 jentera bagi menampung keperluan operasi dan kes kecemasan.

Pengarahnya, Md Hilman Abd Rashid berkata, buat masa ini Terengganu hanya mempunyai 25 jentera berbanding keperluan ideal sebanyak 36 jentera.

"Tujuh daripada jentera yang kita gunakan juga terpaksa dibaik pulih kerana mengalami kerosakan. Walaupun di sebalik kekurangan jentera yang ada, kita optimumkan penggunaan jentera bagi menampung keperluan kes.

"Di Terengganu, kita ada dua balai kategori A iaitu Kuala Terengganu dan Kerteh, yang mana setiap balai kita perlukan dua jentera.

"Begitu juga balai B, kita ada dua balai kategori B yang mana kita memerlukan empat jentera lagi bagi memenuhi keperluan semasa.

"Kita ada 12 balai C dan sepatutnya kena ada dua jentera lagi manakala bagi balai D, kita masih memerlukan sebuah jentera bagi balai D," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Fire Response Vehicle (FRV) di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu hari ini.

Md Hilman berkata, beliau mengharapkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk pertambahan jentera sekiranya mempunyai peruntukan bagi memastikan operasi dapat dijalankan dengan lebih efisien.

"Kita juga masih menggunakan lapan jentera yang berusia 10 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Jadi pertambahan jentera ini dapat memendekkan tempoh bertindak dan mampu menampung keperluan ideal melibatkan 17 balai di Terengganu.

"Bagaimanapun saya menyerahkan kepada pihak ibu pejabat bagi membuat keputusan bagi perolehan baru ini," katanya.