Gerakan Kedah sokong kepimpinan Muhyiddin

Marimuthu (tengah) bersama kepimpinan Gerakan Kedah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Marimuthu (tengah) bersama kepimpinan Gerakan Kedah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
A
A
A

ALOR SETAR - Badan Perhubungan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Kedah menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui negara sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pengerusi Gerakan Kedah, Marimuthu Selvan berkata, ia selari dengan keputusan Ahli Jawatankuasa Pusat parti itu yang menyokong kepimpinan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, pihaknya turut sebulat suara menyokong kepimpinan Presiden Gerakan Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

“Badan Perhubungan Gerakan Kedah menyokong kebebasan bersuara tetapi kami tidak bersetuju dengan serangan stigma peribadi yang tidak berasas,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Marimuthu berkata, buat masa ini tiada perkara yang lebih penting berbanding usaha untuk membangunkan semula ekonomi dan menjaga kesihatan rakyat.

“Memandangkan negara kita sedang berdepan kesukaran melawan wabak Covid-19, elakkan serangan politik peribadi yang tidak berasas, kebajikan rakyat harus diberikan keutamaan,” katanya.

Katanya, sebagai sebuah parti politik yang bertanggungjawab dan profesional, parti itu perlu menumpukan perhatian kepada keseluruhan situasi dan membuat keputusan bermanfaat untuk rakyat dan negara iaitu dengan menyokong kepimpinan Muhyiddin.

“Ia bagi memastikan kestabilan politik dalam negara ini. Ini sesuai dengan prinsip Gerakan sentiasa menjunjung tinggi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan: