Akad nikah Selangor masih sidang video

Shahzihan
Shahzihan
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan majlis akad nikah di Selangor masih dilaksanakan menerusi kaedah sidang video sehingga terdapat perubahan yang akan dimaklumkan kemudian.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ia selaras dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Menurutnya, kaedah pernikahan secara sidang video melibatkan pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali dan dua saksi yang berada di rumah pengantin perempuan.

“Pendaftar perkahwinan akan menyaksikan pernikahan yang akan dilaksanakan oleh wali menerusi sidang video dari Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

“Ketetapan terdahulu berkaitan keperluan mendapatkan kebenaran khas masih kekal kepada pasangan yang telah mendapatkan kebenaran berkahwin, mempunyai alasan munasabah dan selepas diluluskan Pengarah JAIS untuk melaksanakan perkahwinan sepanjang PKPB,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pada 20 April lalu, JAIS membenarkan pasangan yang mahu melangsungkan majlis akad nikah di Selangor dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melakukannya melalui sidang video.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan kebenaran itu diberikan dengan syarat bakal pengantin sudah mendapat kelulusan khas JAIS.

Menurutnya, tatacara terperinci serta ketetapan baharu yang strategik disediakan bagi memastikan pelaksanaan majlis itu menepati hukum, dilaksanakan dengan standard yang wajar, mudah difahami serta diikuti oleh pasangan yang terbabit kerana kaedahnya lain daripada kebiasaan.

Artikel Berkaitan: