Polis tingkat operasi banteras pemandu mabuk

Mazlan Lazim
Mazlan Lazim
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur akan mempertingkatkan operasi bagi membanteras isu pemandu mabuk yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut dan akan mempertingkatkan lagi operasi dari masa ke masa.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mementingkan diri dengan cara mengelakkan diri daripada memandu kenderaan sekiranya mabuk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mazlan berkata, kes terbaharu adalah membabitkan seorang penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan Nissan Grand Livina di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala pusat bandar di sini awal pagi tadi.

“Dalam kejadian pada jam 1.30 pagi itu, mangsa, Mohamed Zaili Mohamed,44, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa selepas menghantar makanan yang dijual oleh isterinya.

“Sebuah kenderaan yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 21 tahun telah melanggar belakang motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penghantar makanan maut dirempuh pemandu mabuk

Beliau berkata, akibat perlanggaran tersebut, mangsa terbabas ke bahu jalan dan motosikalnya pula telah diseret kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

“Suspek telah ditahan, hasil ujian pernafasannya mengandungi alkohol yang melebihi had. Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Mazlan berkata, seramai 455 individu ditahan atas kesalahan memandu dan menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol di ibu kota sejak Januari hingga Mei lalu.