Silat Terengganu bakal diperkenalkan

Yahaya (duduk, tengah) bersama ahli Pesaka Terengganu selepas berakhir mesyuarat.
Yahaya (duduk, tengah) bersama ahli Pesaka Terengganu selepas berakhir mesyuarat.
A
A
A

KUALA NERUS - Silat yang bercirikan identiti Terengganu bakal diwujudkan dan diperkenalkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Terengganu pada masa akan datang.

Yang Dipertua Pesaka Terengganu, Yahaya Ali berkata, namun persatuan itu tidak meletakkan satu jangka masa yang tertentu bagi mewujudkan seni silat berindentitikan negeri ini.

"Kita meraikan seni silat sedia ada di negeri ini namun akan mempopularkan satu silat berasal dari Terengganu yang dapat diterima semua pihak," katanya kepada media di selepas mempengerusikan mesyuarat Pesaka.

Mesyuarat kali pertama persatuan seni bela diri itu diadakan Di Bilik Mesyuarat Majlis Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, di sini, petang semalam.

Beliau juga Yang Dipertua Dun Terengganu berkata, Pesaka juga akan berusaha dalam memastikan persatuan seni silat di setiap daerah mendaftarkan persatuan masing masing.

"Jika ada yang belum berdaftar atau pun yang sudah berdaftar tetapi tempoh pendaftarannya telah tamat, kita akan hidupkan.

"Ini kerja jangka panjang, kita tidak boleh bergerak atas nama negeri untuk terus aktif ke daerah-daerah dan kampung-kampung.

"Mesti ada penyelarasan daripada persatuan induk dengan persatuan itu dan akan diberi tugas ke peringkat daerah-daerah, barulah kita boleh bergerak secara lebih teratur," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sehubungan itu adalah penting wujudnya satu persatuan seni silat di peringkat daerah bagi mencapai tujuan tersebut.

Dalam masa sama, katanya, semua seni silat di negeri mesti selari dengan ajaran Islam dan menjadi sebagai aktiviti sukan yang diminati semua pihak khususnya generasi muda.

"Kita mahu generasi muda ini menjadikan seni silat sebagai satu kegiatan penting mereka dalam memastikan masa mereka tidak dihabiskan untuk aktiviti tidak berfaedah," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pesaka Terengganu juga berhasrat untuk menguasai kejohanan-kejohanan besar yang dianjurkan sama ada kejohanan di dalam mahu pun di luar negara.

"Pesaka seharusnya bergerak lebih aktif ke hadapan dan diharapkan usaha ini turut mendapat kerjasama daripada semua pihak," katanya.