Pas Kelantan, jangan angkuh!

HISHAM FAUZI
HISHAM FAUZI
A
A
A

KOTA BHARU - Pakatan Harapan (PH) negeri hari ini menegur Pas Kelantan supaya tidak terlalu angkuh hingga mendakwa PH akan kehilangan deposit jika berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat.

Pengarah Undang-Undang PH Kelantan, Hisham Fauzi berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Pas negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi itu bersifat angkuh, seolah-olah lupa bahawa rakyat sedang memerhati rapat prestasi Kerajaan Kelantan sekarang ini.

Beliau yang juga Ketua Amanah Kawasan Tanah Merah berkata, rakyat sedang memerhati bagaimana prestasi Kerajaan Kelantan sekarang kerana Pas dilihat masih gagal melaksanakan manifesto mereka dalam pilihan raya yang lepas.

"Apa jadi dengan manifesto Pas Kelantan yang menjanjikan pesara polis dan tentera akan mendapat rumah sendiri, janji insentif kepada pemandu kereta sewa, janji melestarikan alam sekitar, apa yang sudah dilaksanakan.

“Janji mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat, tapi Kelantan menaikkan bayaran kos proses pejabat tanah hingga menjadi yang tertinggi di Malaysia, janji meningkatkan kemudahan asas hanya tinggal janji, hendak letak kereta pun sangat bermasalah. Salah letak sahaja, akan segera dikapit kunci tayar,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu, sebelum membuat andaian yang keterlaluan terhadap PH, Hisham juga mahu Kerajaan Kelantan melihat janji mereka terhadap Polis Syariah sebagaimana yang diuar-uarkan sebelum ini.

“Bagaimana dengan kualiti air masih dalam keadaan yang sangat tidak memuaskan, kadar liputan perkhidmatan dan air tiada hasil (non-revenue water), bagaimana pula dengan insentif tempatan untuk menarik pelabur asing (FDI) ke negeri ini setelah Kelantan muncul di tangga antara negeri paling rendah FDI di Malaysia?” soalnya.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, Ahli Parlimen Tumpat itu juga dilaporkan sebagai berkata, “Kita tidak 'mengalukan' PRU tetapi lebih mengutamakan kepentingan serta perasaan rakyat selain menitik beratkan kehidupan dan kesusahan rakyat yang masih berlaku hari ini”.

Sebagai respon, Hisham mempersoalkan apakah insentif terbaik Kerajaan Kelantan dalam membantu ekonomi rakyat sepanjang tempoh wabak koronavirus (Covid-19).

“Berbanding Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang yang menjalankan pelan komprehensif yang mencakupi semua golongan terutama golongan pekerja dan usahawan kecil atau sederhana.

“Geopolitik di Kelantan sudah berubah. Landskapnya sudah lain apabila Pas kini sudah secara terbuka berpasangan dengan UMNO,” katanya.

Beliau berpandangan rakyat yang mengundi Pas pada pilihan raya lalu rasa tertipu di sebalik hubungan antara Pas dan UMNO yang terbukti kedua-dua parti itu sudah berjabat tangan selepas PRU14.

“Rakyat Kelantan masih belum lupa pesanan arwah Tok Guru Nik Aziz agar tidak mempercayai UMNO. Kita yakin dan percaya dengan segala faktor yang sebagaimana nyatakan, rakyat Kelantan akan memilih perubahan jika berlaku PRU pada masa sekarang.

“Kejutan sebagaimana dibuat rakyat Kelantan pada 1990 tidak mustahil berlaku sekali lagi,” katanya.