Covid-19: Hanya 12 kes sedang dirawat di Sabah

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Hanya tinggal 12 kes koronavirus (Covid-19) sedang dirawat di enam hospital pakar seluruh Sabah setakat semalam, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi.

Beliau berkata, jumlah itu adalah daripada 346 kes Covid-19 direkodkan di Sabah, manakala selebihnya iaitu 329 adalah kes sembuh dan lima kes kematian.

Dr Christina berkata, tiada kes baharu dilaporkan di negeri ini selama dua hari berturut-turut, namun Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengingatkan bahawa bilangan kes Covid-19 yang dilaporkan semakin berkurangan bukan bermakna wabak itu sudah berakhir.

“JKNS menggesa orang ramai untuk terus mengamalkan normal baharu tidak kira sama ada di rumah, kedai atau di mana sahaja. Dengan hanya satu kes, jika kita leka dan tidak memandang serius perkara ini, tidak mustahil jangkitan Covid-19 boleh menular semula,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Christina berkata, jangkitan Covid-19 dalam kalangan individu merokok akan mengakibatkan komplikasi lebih teruk berbanding mereka yang tidak merokok.

Justeru, JKNS berharap wabak Covid-19 memberi permulaan baharu kepada semua perokok serta kesedaran kepada generasi muda untuk menjauhi sebarang bentuk amalan merokok demi kesihatan diri dan keluarga.

"JKNS menyediakan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok di 23 hospital kerajaan dan 58 klinik kesihatan di seluruh negeri," katanya.

Dr Christina turut menasihatkan orang ramai terutama generasi muda untuk tidak terpedaya dan mudah dieksploitasi oleh industri tembakau yang menggunakan pelbagai teknik licik bagi mempengaruhi mereka supaya merokok.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kajian rokok dan rokok elektronik dalam kalangan remaja Malaysia (TECMA) 2016 menunjukkan generasi muda sudah berjinak-jinak dengan rokok dan ‘vape’ (rokok elektronik) semasa di bangku sekolah lagi.

"Trend ini amat merunsingkan dan perlu dibendung dari awal," katanya.- Bernama