Kebebasan, hak asasi kini 'membakar' AS

Penunjuk perasaan membakar kenderaan selain memecah masuk kedai dan mencuri barangan semasa mengadakan tunjuk perasaan di AS. - EPA
Penunjuk perasaan membakar kenderaan selain memecah masuk kedai dan mencuri barangan semasa mengadakan tunjuk perasaan di AS. - EPA
A
A
A

MINNEAPOLIS - Perintah berkurung telah diisytiharkan di beberapa bandar di Amerika Syarikat (AS) berikutan rusuhan yang semakin meningkat di seluruh negara itu apabila ribuan penunjuk perasaan mengabaikan amaran Presiden Donald Trump yang mengancam akan menghentikan demonstrasi itu dengan kekerasan.

Di Minneapolis, lokasi di mana rusuhan berlaku selama lima hari berturut-turut menyaksikan pasukan polis menembak gas pemedih mata dan bom tangan ke arah penunjuk perasaan yang mencetuskan keganasan selepas kematian seorang lelaki kulit hitam, George Floyd di bandar itu pada Isnin lalu.

Los Angeles, Chicago dan Atlanta adalah antara bandar yang dikenakan perintah berkurung sementara beberapa negeri mula menggunakan tentera untuk membantu mengawal rusuhan ganas yang tidak pernah berlaku di AS selama bertahun-tahun.

Dari Seattle ke New York, ribuan penunjuk perasaan berhimpun bagi menuntut keadilan ke atas kematian Floyd yang maut selepas seorang pegawai polis, Derek Chauvin bertindak melutut di belakang lehernya selama hampir sembilan minit.

Sementara itu di Los Angeles, pasukan keselamatan menembak peluru getah dan menggunakan cota semasa bertempur dengan kumpulan protes yang bertindak ganas membakar sebuah kereta polis.

Polis dan penunjuk perasaan turut bertempur di Chicago dan New York sehingga memaksa pasukan polis melepaskan semburan lada ke arah perusuh yang bertindak menghancurkan tingkap-tingkap premis perniagaan di Philadelphia.

Dalam pada itu, Trump menyalahkan kumpulan protes ke atas keganasan itu, termasuk pembakaran yang berlaku di Minneapolis dengan menyifatkan peserta demonstrasi tidak menghormati kematian Floyd.

“Kita tidak boleh membiarkan sekumpulan kecil penjenayah dan pengacau merosakkan bandar-bandar dan merugikan masyarakat kita.

Artikel Berkaitan:

“Pentadbiran saya akan menghentikan keganasan ini dan kami akan menghentikannya dengan cara yang ‘dingin’,” katanya, menuduh keganasan itu dirancang oleh golongan anti-fasis.

Beberapa demonstrasi di AS bertukar ganas selepas penunjuk perasaan bertempur dengan polis. - Foto EPA
Beberapa demonstrasi di AS bertukar ganas selepas penunjuk perasaan bertempur dengan polis. - Foto EPA

Calon Presiden Demokrat, Joe Biden turut mengecam keganasan yang dilakukan oleh penunjuk perasaan sebelum mengubah kenyataan pada Ahad yang mengatakan bahawa warga AS mempunyai hak untuk berdemonstrasi.

“Membantah kekejaman seperti itu adalah betul dan perlu. Tetapi, tidak perlu mulakan kebakaran dan merosakkan harta benda,” katanya.

Perusuh akan ‘dihancurkan’

Sementara di Toronto, perhimpunan aman turut diadakan sebaik sahaja gerakan itu meluas hingga di luar sempadan AS.

Laungan slogan 'Black Lives Matter' dan 'Saya tidak boleh bernafas', telah menjadi simbol baharu terhadap kekejaman polis oleh penunjuk perasaan di seluruh negara.

“Kami tidak akan berdiam diri lagi. Kehidupan orang kulit hitam adalah penting dan kami di sini hari ini untuk menunjukkannya,” kata seorang peserta protes, Melissa Mock yang menyertai ribuan penunjuk perasaan di Miami.

Dalam pada itu, Gabenor Minnesota, Tim Walzs berkata, pihaknya telah menggerakkan keseluruhan 13,000 anggota Pengawal Kebangsaan Minnesota untuk menangani perusuh yang merompak kedai dan membakar kawasan Minneapolis - St Paul.

Semua jalan raya utama menuju ke Minneapolis ditutup pada Sabtu malam dengan kawalan helikopter tentera, bersiap-sedia bagi menghadapi lebih banyak rusuhan, pembakaran dan penjarahan yang didakwa oleh penduduk tempatan kebanyakan keganasan itu dilakukan oleh orang luar.

Terdapat juga orang ramai yang berkumpul dan melakukan perhimpunan aman di Minneapolis sambil membantu membersihkan kedai-kedai dan jalan yang rosak.

Turut dilihat beberapa penduduk meletakkan bunga di hadapan kedai di mana Floyd ditangkap pada Isnin lalu sebelum mati di tangan polis.

Di Houston, tempat kelahiran Floyd, seorang kenalan lamanya, Sam Osborne berkata, sebagai warga kulit hitam, dia bimbang akan keselamatan dirinya.

“Saya benar-benar terganggu apabila mereka membunuhnya dan tertanya-tanya adakah perkara sama akan menimpa diri saya?” katanya kepada AFP.

Pada Ahad, Datuk Bandar Houston, Sylvester Turner melalui sidang media mengumumkan bahawa mayat Floyd akan dibawa pulang ke Houston.

Protes di AS dijangka berterusan walaupun anggota polis yang terlibat telah pun dikenakan hukuman. - EPA
Protes di AS dijangka berterusan walaupun anggota polis yang terlibat telah pun dikenakan hukuman. - EPA

Sekurang-kurangnya lapan negeri termasuk Texas, Colorado dan Georgia telah mengaktifkan Pengawal Kebangsaan.

Sementara di Washington, penunjuk perasaan berhadapan dengan kawalan ketat di luar Rumah Putih selama dua hari berturut-turut.

Di Miami, perintah berkurung turut diumumkan berikutan penjarahan yang berlaku.

Susulan daripada protes tersebut, Datuk Bandar New York, Bill de Blasio berkata, sebuah video tular yang menunjukkan kereta milik Jabatan Polis New York dibakar oleh penunjuk perasaan adalah mengecewakan tetapi beliau tidak menyalahkan anggota keselamatan yang bertugas.

Di Los Angeles, Datuk Bandar Eric Garcetti memperluaskan perintah berkurung akibat daripada penjarahan.

Protes itu dijangka berterusan walaupun pegawai polis yang menyebabkan kematian Floyd telah dipecat dan berdepan dengan tuduhan pembunuhan tahap ketiga pada Jumaat lalu.

Susulan penangkapan Chauvin, ahli keluarga Floyd dan penunjuk perasaan turut menuntut tuduhan yang lebih berat dan meminta tiga lagi pegawai polis yang terlibat didakwa. - AFP