Iktiraf tanpa memfitnah

Ustaz Ebit Lew
Ustaz Ebit Lew
A
A
A

SEBAGAIMANA yang saya tulis dalam salah satu artikel terdahulu, telah tular isu Ustaz Ebit Lew menziarahi sebuah rumah usang di Alor Setar, Kedah pada awal bulan lepas.

Telah timbul fitnah juga kecaman walhal kebajikan pihak berkaitan memang dijaga. Bantuan telah disalurkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Masjid Al-Irfan Derga juga Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga sejak 2007 lagi.

LZNK yang sangat mesra asnaf telah menawarkan rumah asnaf kepada keluarga terbabit sejak 12 tahun yang lepas tetapi ditolak atas alasan tertentu. Malah, pada 2018, kerajaan negeri Kedah menawarkan dua buah rumah di Flat Seri Gemilang, Mergong kepada keluarga berkenaan, namun keluarga itu enggan berpindah. Pelik, bukan?

Terbaharu, Ustaz Ebit Lew ke Kelantan pula. Kecoh lagi satu Malaysia apabila Ebit Lew berjaya memujuk seorang nenek berumur 79 tahun dan keluarganya berpindah keluar dari pondok buruk yang tidak mempunyai tandas itu di kawasan Tapak Pelupusan Sampah Majlis Daerah Pasir Mas. Sekali lagi, netizen mengecam Penghulu, Yang Berhormat (YB) dan kerajaan negeri.

Kerajaan negeri sebenarnya sudah menyediakan penempatan baharu di belakang Taman Perumahan Tengku Anis untuk semua keluarga yang terlibat. Pondok buruk tersebut sepatutnya bersifat penempatan sementara sahaja untuk memudahkan mereka mencari sampah yang kebiasaannya tiba pada jam 3 hingga 7 pagi setiap hari. Jika tinggal berjauhan, mungkin orang lain akan dapat dahulu barangan terpakai yang berharga dalam timbunan sampah itu.

Sebelum Ebit Lew, seorang aktivis masyarakat, Syed Azmi telah ke sana bersama Ahli Parlimen Rantau Panjang, YB Siti Zailah Mohd Yusoff, atau lebih mesra dengan panggilan Kak Lah. Mereka sebenarnya umpama anak emas YB. Setiap kali musim bantuan, mereka pasti tidak ketinggalan, malah lebih kerap lagi menerima bantuan daripada orang lain. Pihak JKM dan MAIK juga turut memberikan bantuan.

Kes ini seakan-akan sama dengan yang berlaku di Kedah. Kenapa mereka masih enggan berpindah walaupun ditawarkan rumah oleh kerajaan?

Sebab utamanya adalah jika berpindah, tempat tinggal baharu jauh daripada tapak pelupusan sampah tempat mereka mencari rezeki. Lagipun, jika sudah duduk di rumah batu yang kerajaan bagi, tiada lagi yang simpati yang akan memberikan sumbangan yang mencurah-curah.

Artikel Berkaitan:

Menurut seorang sahabat wartawan yang membuat liputan kisah terbabit, mereka ini mampu menggunakan telefon bimbit berjenama iPhone, motosikal LC, serta kereta yang dipasang sport rim. Mereka kata, “Dah ada orang datang bagi sumbangan, kami ambil je lah, bukan kami minta pun.” Ini adalah salah satu sebab mereka kekal tinggal di penempatan sementara itu sehingga 20 tahun.

Jika kerajaan negeri menggunakan kuasa undang-undang menyita penempatan sementara tersebut, kerajaan negeri akan dikatakan zalim pula kerana menyusahkan mereka yang mencari rezeki. Tetapi, kebaikan kerajaan negeri membenarkan mereka tinggal sementara di tapak berkenaan telah mengundang fitnah. Umpama memberi madu tetapi dibalas tuba.

Ustaz Ebit Lew seorang yang baik dan amat pemurah. Budi pekerti beliau tinggi, cakap pun penuh lemah lembut. Saya amat mengagumi akhlak beliau. Beliau mampu memujuk golongan asnaf bilamana pihak lain gagal. Kita pujilah kebaikan dan keistimewaan Ustaz Ebit Lew tanpa perlu memberi komen negatif apatah lagi memfitnah pihak lain.

*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan.