1,800 perantau pulang beraya di Kelantan negatif Covid-19

Dr Zaini ketika ditemui media di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
Dr Zaini ketika ditemui media di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Kelantan yakin tiada penularan terbaharu wabak koronavirus (Covid) yang dikaitkan dengan kluster rentas negeri di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, penilaian tersebut dibuat berdasarkan keputusan negatif terhadap 1,800 sampel yang diambil menerusi sekatan jalan raya dan juga pemeriksaan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.

Beliau berkata, pihaknya telah menjalankan ujian swab selama tiga hari bermula sebelum sambutan hari raya lagi di lima pintu masuk utama ke negeri ini.

“Semua keputusan adalah negatif. Kita yakin dengan semua keputusan negatif ini, kita rasakan tidak berlaku penularan dan jangkitan wabak dari kes rentas negeri yang dibawa masuk ke Kelantan,” katanya kepada media hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan (JKKN) Khas Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob hari ini.

Selain itu, Dr Zaini juga memaklumkan, bagi kemasukan luar negara ke negeri ini juga, kumpulan berkenaan perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin di sini.

Dalam pada itu, Dr Zaini juga memberitahu pihaknya turut menjalankan ujian terhadap tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah dan juga penjara di Kelantan.

Katanya, pihaknya akan membuat pemeriksaan secara berterusan terhadap penahanan baharu PATI sebelum ditempatkan ke pusat tahanan.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini 16 sampel telah diambil di depot di Tanah Merah dan 30 di penjara. Keputusan semua negatif,” katanya.