Rakyat Malaysia di AS diminta waspada, patuhi perintah berkurung

Penunjuk perasaan berkumpul menuju ke arah Rumah Putih semasa tunjuk perasaan atas kematian George Floyd di Washington D.C, hari ini. Foto: Xinhua
Penunjuk perasaan berkumpul menuju ke arah Rumah Putih semasa tunjuk perasaan atas kematian George Floyd di Washington D.C, hari ini. Foto: Xinhua
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia di Amerika Syarikat (AS) digesa untuk mematuhi perintah berkurung yang dikenakan ekoran rusuhan yang berlaku di bandar-bandar utama negara itu.

Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC dalam satu kenyataan turut menasihatkan rakyat Malaysia untuk sentiasa berjaga-jaga dalam berdepan ketegangan yang sedang melanda.

"Memandangkan tunjuk perasaan terhadap tuntutan rasisme dan kekejaman polis di pelbagai bandar di seluruh AS, Kedutaan Besar Malaysia mendesak rakyat Malaysia di AS untuk tetap berwaspada dan berhati-hati untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka.

"Warganegara Malaysia disarankan menghindari kawasan protes, terus duduk di rumah dan mematuhi perintah berkurung yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan, jika relevan," menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu menambah, setakat ini tiada sebarang laporan atau pemberitahuan mengenai rakyat Malaysia yang cedera atau cedera akibat protes yang sedang berlangsung.

Rakyat Malaysia yang belum mendaftar ke kedutaan juga diingatkan untuk segera melakukannya, sekiranya berlaku kecemasan.

"Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular dapat menghubungi kedutaan melalui e-mel: mwwashington@kln.gov.my, consularwdc@kln.gov.my, atau telefon + 1-202-5729700," katanya.

Rusuhan besar-besaran telah merebak di 30 bandar Amerika Syarikat sebagai membantah kematian lelaki kulit hitam ketika ditahan anggota polis.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 25 bandar di 16 wilayah menguatkuasakan perintah berkurung selepas tunjuk perasaan berlaku buat lima malam berturut-turut.

Bantahan ganas bermula di bandar Minneapolis, Minnesota selepas kematian lelaki kulit hitam, George Floyd, 46 tahun, mencetuskan kemarahan ramai pada 26 Mei lalu.

Para penunjuk perasaan menuntut agar kesemua empat orang anggota polis yang turut terlibat dalam pembunuhan Floyd ditangkap.

Keempat-empat pegawai itu sudahpun dipecat sementara pegawai polis kulit putih, Derek Chauvin didakwa atas tuduhan membunuh selepas bertindak di luar batas kemanusiaan ketika menahan mangsa.

Bagaimanapun, penunjuk perasaan tidak puas hati selepas rakaman video terbaru yang tular menunjukkan bukan seorang tetapi tiga orang pegawai dilihat melutut ke atas mangsa yang tidak bersenjata.

Perintah berkurung diisytiharkan di Los Angeles, Philadelphia, Atlanta dan Minneapolis, di mana pihak berkuasa berdepan dengan rusuhan serta penjarahan yang berterusan.

Buat julung-julung kalinya juga sejak Perang Dunia kedua, Pasukan Pengawal Negara Amerika dikerah untuk membantu agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan mengawal keadaan.

Berdasarkan laporan sebelum ini, seramai 26,000 rakyat Malaysia di AS mendaftar dengan Kedutaan Malaysia bagi membolehkan kedutaan mengesan mereka dan menyalurkan maklumat terkini mengenai koronavirus (Covid-19).

Bagaimanapun, jumlah sebenar rakyat Malaysia di negara berkenaan tidak diketahui.