X

Kindly register in order to view this article
!

KKM nasihat patuhi SOP ketika berurusan di kaunter JPJ

Dr Noor Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.-Foto: Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai yang mahu memperbaharui lesen memandu dan berurusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang akan dibuka semula esok agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka perlu mengikut arahan penjarakkan sosial yang ditetapkan.

Menurutnya, kelonggaran untuk kaunter JPJ dibuka semula itu diberikan kerana kepatuhan rakyat negara ini terhadap SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Setakat ini sudah lapan hari kita meraikan Hari Raya Aidilfitri dan tiada peningkatan kes (penularan tempatan) dan ini menunjukkan kepatuhan kepada SOP.

"Kita jangka minggu depan pun tidak akan berlaku peningkatan mendadak kes-kes selepas hari raya," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian apabila ditanya mengenai kemungkinan orang ramai akan menyerbu kaunter JPJ yang akan kembali beroperasi esok dari jam 8 pagi hingga 4 petang.

Bagaimanapun, katanya, KKM turut menggalakkan urusan memperbaharui lesen memandu terus dilakukan secara dalam talian seperti semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Kita galakkan semua jabatan kerajaan menyediakan perkhidmatan menggunakan platform dalam talian atau kaedah terbaharu lain," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!