Merokok tingkat risiko jangkitan Covid-19

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Risiko jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) didapati boleh meningkat akibat tabiat merokok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham berkata, ini kerana merokok terbukti mengakibatkan pelbagai jenis penyakit serta boleh melemahkan imuniti manusia.

Menurutnya, keadaan itu sekali gus meningkatkan risiko jangkitan bakteria dan virus termasuk wabak Covid-19.

"Penelitian dan analisa awal berkaitan sejarah merokok dan faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang telah dijalankan ke atas 86 daripada jumlah pesakit Covid-19 yang telah meninggal dunia di Malaysia, didapati 19.8 peratus (iaitu 17 orang) adalah terdiri daripada golongan perokok.

"Analisa juga mendapati bahawa bagi kes kematian Covid-19 yang tidak mempunyai sejarah penyakit kronik tetapi merokok, jumlah kematiannya adalah lebih tinggi berbanding kes kematian Covid-19 yang bukan perokok atau 17.6 peratus berbanding 12.1 peratus," katanya pada sidang akhbar mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, kenyataan sama turut dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini.

"WHO melalui kenyataan yang telah dikeluarkan pada 27 Mei 2020 dan disokong dengan beberapa kajian yang dijalankan di luar negara mendapati golongan perokok berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti virus Covid-19.

"Covid-19 adalah penyakit berjangkit yang menyerang terutamanya paru-paru. Merokok merosakkan fungsi paru-paru, justeru menjadikan badan kita lebih sukar untuk melawan koronavirus dan penyakit-penyakit lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, tembakau didapati telah membunuh lebih daripada lapan juta orang di seluruh dunia setahun.

Katanya, daripada jumlah itu, lebih tujuh juta kematian disebabkan penggunaan tembakau secara langsung dan sekitar 1.2 juta disebabkan oleh bukan perokok yang terdedah kepada asap rokok terpakai.