Covid-19: Singapura catat 518 kes baharu

Singapura menyebut majoriti besar kes baru hari ini, melibatkan pekerja asing yang menghuni asrama pekerja manakala hanya 13 kes melibatkan warganegara Singapura ataupun Penduduk Tetap.- FOTO AFP
Singapura menyebut majoriti besar kes baru hari ini, melibatkan pekerja asing yang menghuni asrama pekerja manakala hanya 13 kes melibatkan warganegara Singapura ataupun Penduduk Tetap.- FOTO AFP
A
A
A

SINGAPURA - Data awal Singapura mengesahkan sejumlah 518 lagi jangkitan koronavirus (Covid-19) hari ini dengan hanya tiga daripadanya adalah dalam kalangan komuniti tempatan yang menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu setakat ini ialah 34,884.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Singapura (MOH), data setakat tengah hari menunjukkan bahawa kebanyakan kes baharu membabitkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Kementerian itu masih meneliti butiran kes terbabit dan kemas kini lanjut akan dikongsi kemudian.

Data penuh yang dikeluarkan pada lewat Sabtu menyaksikan Singapura mengklasifikasikan sejumlah 1,682 sebagai kes komuniti, 580 sebagai kes import dan 32,104 kes membabitkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Secara keseluruhan, sebanyak 20,727 pesakit atau kira-kira 60 peratus daripada jumlah keseluruhan 34,366 kes yang dicatat pada Sabtu telah pulih sepenuhnya.

Kementerian itu berkata, sejumlah 13,242 pesakit yang mempunyai gejala ringan atau sihat dari segi klinikal namun diuji positif Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di pusat kemudahan komuniti.

Setakat tengah hari Sabtu, sejumlah 374 kes yang disahkan masih berada di hospital dengan tujuh ditempatkan di unit rawatan rapi manakala 23 orang meninggal dunia.

Bagi kluster baharu hanya satu dikenal pasti semalam yang membabitkan sebuah asrama pekerja di 15A Senoko Way.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, kluster terbesar di republik tersebut iaitu Asrama Pekerja S11 @ Punggol mempunyai 2,686 kes yang disahkan manakala asrama pekerja terbesar di Singapura iaitu Sungei Tengah Lodge di 500, Jalan Lama Choa Chu Kang mempunyai 1,970 kes.

Mengemas kini empat kes di Kompleks Penjara Changi, kenyataan MOH menyebut bahawa: "Kami telah mendapati bahawa mereka tidak mempunyai kaitan secara epidemiologi antara satu sama lain dan tidak mewujudkan satu kluster."

"Kes terbabit telah dimasukkan dalam kemas kini harian kami sebelum ini mengenai kes baharu Covid-19," menurut kenyataan itu.

Kenyataan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) pada Sabtu menyebut bahawa tiga tahanan baharu dan seorang jururawat am yang bertugas di Kompleks Penjara Changi telah diuji positif Covid-19 antara bulan April dan Mei. - Bernama