Telur luput dalam puding buih punca 99 individu keracunan

Puding buih yang dibeli mangsa yang mengalami keracunan makanan. Gambar kecil:Dr Alias Razak
Puding buih yang dibeli mangsa yang mengalami keracunan makanan. Gambar kecil:Dr Alias Razak
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penggunaan telur yang telah luput dipercayai menjadi punca 99 individu mengalami keracunan makanan selepas makan puding buih yang dibeli secara dalam talian pada 22 Mei lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak berkata, hasil ujian makmal mendapati penggunaan telur yang lebih dua minggu menjadi punca utama kes keracunan makanan itu.

"Kita memandang serius kes membabitkan keracunan makanan kerana ia membabitkan keselamatan awam.

"Tindakan telah diambil di mana premis terbabit tidak dibenarkan beroperasi selama dua minggu," katanya kepada pemberita hari ini.

Alias berkata, semua mangsa kes keracunan puding buih berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Kita bersyukur kerana kes ini tidak membabitkan kehilangan nyawa dan kesemua mangsa keracunan makanan yang dirawat telah menunjukkan perkembangan positif dan ada yang telah dibenarkan pulang ke rumah," katanya.

Dalam pada itu, Alias berkata, kerajaan negeri akan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) kepada semua peniaga yang menjalankan perniagaan dari rumah atau secara atas talian.

Katanya, ia disebabkan kebanyakan mereka tidak mempunyai lesen perniagaan selain tidak melakukan suntikan vaksin penyediaan makanan.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan kuatkuasakan prosedur sepatutnya diikuti kepada semua peniaga makanan terutama yang berniaga secara atas talian bagi memastikan kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual," katanya.

Terdahulu, seramai 99 mangsa dikejarkan ke HSNZ apabila mengalami muntah dan cirit-birit selepas memakan puding buih yang dibeli secara dalam talian.

ARTIKEL BERKAITAN Mangsa keracunan puding buih meningkat kepada 99 orang