'Konflik Bersatu amat menyedihkan'

Rosol Wahid
Rosol Wahid
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menyifatkan konflik yang berlaku kepada parti itu ketika ini sebagai suatu yang amat menyedihkan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, perkara itu dapat dielakkan sekiranya lima Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang digugurkan keahliannya itu kembali ke pangkal jalan.

"Saya secara peribadi merasakan ia tidak sewajarnya berlaku. Tetapi memandangkan ia telah berlaku, maka tindakan yang dibuat terhadap lima pemimpin Bersatu itu adalah wajar kerana mereka secara jelas dan terang-terangan telah menyokong pembangkang.

"Apabila surat telah dikeluarkan dan mereka menyatakan bersama blok pembangkang, secara jelas mereka mengikuti kem pembangkang.

"Bagi yang berparti dan menyebelahi pembangkang adalah suatu 'dosa besar' yang tidak boleh dimaafkan," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan terhadap harga dan bekalan barang kawalan semasa pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2020 di Pasar Payang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas konflik yang melanda Bersatu sehingga membawa pengguguran keahlian Tun Dr Mahathir Mohamad.

Empat yang lain ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, kesalahan mereka tidak boleh dimaafkan dan menasihatkan agar Dr Mahathir dan pemimpin yang terlibat supaya tidak mementingkan diri sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Kalau kita lihat reaksi ahli dan kebanyakan orang di media sosial, ramai yang menentang mereka.

"Ini suatu yang malang terutamanya bagi seorang negarawan yang kita hormat dan banyak berjasa kepada negara, yang mengambil tindakan yang saya rasa di luar kewarasan biasa," katanya.