KAFA kemuka rayuan kekal tawaran pemotongan levi stadium

HUSIN DERAMAN
HUSIN DERAMAN
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengemukakan rayuan bagi mengekalkan tawaran pemotongan levi sebanyak RM100,000 yang pernah ditawarkan oleh kerajaan negeri kepada persatuan itu pada 2018.

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata, tawaran itu dibuat ketika Bibi Ramjani Ilias Khas menggalas tugas sebagai presiden persatuan namun pembayaran tidak dilakukan menyebabkan pengurusan baharu terpaksa menanggung hutang berkenaan.

“KAFA akan membuat rayuan agar tawaran pemotongan itu kekal sehingga 2020 memandangkan persatuan ketika ini berdepan masalah kewangan selepas terkesan dengan penularan koronavirus (Covid-19) yang melanda negara,” katanya di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri Kelantan tidak berdiam diri dalam membantu kemelut kewangan KAFA dengan menawarkan pemotongan hutang dan levi penggunaan Stadium Sultan Muhammad lV berjumlah RM1 juta.

Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerajaan negeri menawarkan diskaun dengan KAFA hanya perlu membayar RM100,000 dalam usaha membantu kewangan persatuan itu.

Husin berkata, rayuan itu akan dibuat dalam masa terdekat selepas KAFA kehilangan punca pendapatan menerusi kutipan tiket apabila Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan susulan penularan wabak Covid-19.

“KAFA kini tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh memandangkan tiada perlawanan berlangsung selain terpaksa reda apabila syarikat kerjasama menarik diri daripada bersama-sama menguruskan pasukan memandangkan mereka turut menghadapi masalah kewangan ketika ini.

“KAFA merayu agar rakyat dan penyokong setia bola sepak Kelantan terus menyalurkan sumbangan bagi meringankan beban kewangan persatuan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: