SPR teliti cadangan tidak had hari penamaan calon

Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang meneliti cadangan supaya hari penamaan calon untuk mana-mana pilihan raya kelak tidak dihadkan hanya pada satu hari sahaja dan prosesnya dilaksanakan secara dalam talian.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, cadangan itu, bagaimanapun akan mengambil masa untuk direalisasikan kerana ia melibatkan pindaan peruntukan undang-undang dan peraturan-peraturan pilihan raya sedia ada.

''Kita nak berbuat demikian, tetapi masalahnya ialah kerangka undang-undang sekarang ini penamaan calon hanya satu hari dan satu jam sahaja dari jam 9 pagi hingga jam 10 pagi, kemudian pengumuman dijangka pada pukul 11 pagi.

"Jadi sekarang penamaan calon tidak boleh dibuat secara online (dalam talian) lagi kerana di bawah kerangka undang-undang sedia ada calon atau pencadang atau penyokong mesti membawa 'hard copy' borang pencalonan berkenaan.

"Oleh itu, kita sedang meneliti cadangan tersebut dan mengambil masa lama kerana kita kena pinda undang-undang dan peraturan ini," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di pejabatnya baru-baru ini.

Cadangan memanjangkan hari dan tempoh masa menghantar borang pencalonan dan pencalonan dalam talian di masa depan diutarakan oleh pelbagai pihak berikutan penularan wabak Covid-19 yang sekali gus menyaksikan Malaysia kini bergerak ke arah normal baharu dalam menghadapi impak jangkitan virus itu.

Azhar Azizan berkata, dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan sebelum ini, SPR membenarkan calon mendapatkan borang pencalonan lebih awal bagi memudahkan proses dan urusan pada hari penamaan calon.

"Kita menggalakkan calon pergi ke pejabat pilihan raya negeri untuk mengisi borang tersebut dan membayar deposit lebih awal serta semak borang-borang tersebut supaya semuanya betul.

"Jadi pada hari penamaan calon ia hanya formaliti sahaja, calon hanya datang dan serahkan borang kepada pegawai pengurus pilihan raya untuk disemak. Selepas semuanya diterima, calon tersebut layak untuk bertanding dalam pilihan raya yang diadakan itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Chini di Pahang akan menjadi yang pertama diadakan ketika negara menghadapi pandemik Covid-19. SPR menetapkan tarikh hari penamaan calon pada 20 Jun dan pengundian awal diadakan 30 Jun manakala hari mengundi pada 4 Julai.

PRK Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun,60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas. - Bernama