Polis Tumpat tubuh pasukan pemantau kawal sempadan

Ab Rashid (kiri) membuat tinjauan di salah sebuah pangkalan haram di sempadan Pengkalan Kubor-Takbai di sini.
Ab Rashid (kiri) membuat tinjauan di salah sebuah pangkalan haram di sempadan Pengkalan Kubor-Takbai di sini.
A
A
A

TUMPAT - Polis Tumpat menubuhkan pasukan pemantau dari tiga buah balai di kawasan sempadan bagi membantu mempergiatkan penugasan mengekang aktiviti rentas sempadan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, pasukan tersebut ditubuhkan sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu melibatkan tiga balai iaitu Balai Simpangan, Kuala Jambu dan Pengkalan Kubor.

"Kita sentiasa mengatur gerak dalam membuat penugasan secara lebih ketat bagi memastikan tiada pembolosan dan aktiviti rentas sempadan berlaku di sepanjang sempadan iaitu sejauh 21.4 kilometer," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melakukan tinjauan bersama Timbalannya, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli dan Pegawai Pemerintah, Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 3, Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad di beberapa lokasi pangkalan haram di sempadan Pengkalan Kubor di sini.

Mengulas lanjut katanya, tugasan kawalan sempadan dilakukan 24 jam tanpa henti walaupun musim perayaan Aidilfitri dan percaya, keadaan itu dapat mengekang pembolosan dan penyeludupan memandangkan bukan hanya polis, malah agensi-agensi lain seperti Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin juga tidak lekang menjaga kawasan-kawasan ditetapkan.

"Kita juga turut melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah sebaik mungkin bagi memastikan seluruh masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, pihaknya mengakui pernah dimarah dan dipersoalkan berhubung tindakan mengadakan pemantauan dan pemeriksaan dari rumah ke rumah sepanjang tugasan di musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pihaknya mengambil pendekatan jelas iaitu melakukan tugasan sebaik mungkin bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan kerajaan bagi mengelak penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Tumpat mencatatkan 91 tangkapan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP manakala hanya satu kompaun dikeluarkan sepanjang PKPB melibatkan seorang pemilik premis menjual makanan kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan.