Rahsia Pos Malaysia belum terdedah

A
A

SEJAK berzaman kita bergantung kepada media cetak dan elektronik untuk mendapat maklumat, tetapi kini kita banyak bergantung pada media sosial untuk maklumat segera tanpa halangan penyunting.

Disebabkan kecenderungan dan prasangka, seseorang penyunting boleh menerima yang ini dan menolak yang itu.

Itu sebabnya Presiden Trump buat pertama kali dalam kalangan ketua kerajaan dunia memilih media sosial untuk memberikan maklumat secara langsung kepada dunia. Maklumat benar tetap benar, yang bohong tetap bohong.

Baru-baru ini saya menerima di telefon satu senarai salah laku wang yang amat panjang, diedarkan oleh seorang mantan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan.

Ini menunjukkan beliau tidak silu-silu mengesahkan bahawa segala keburukan yang tercatat itu adalah benar. Kebetulan terdapat satu salah laku wang yang rapat dengan hati saya: kerugian Pos Malaysia sebanyak RM230 juta. Ini amat menarik kerana siratannya amat luas. Jumlahnya lebih banyak daripada itu. Ketika itu saya ialah Pengerusi Pos Malaysia.

Memandangkan Pos Malaysia itu sebuah badan rakyat yang menggunakan wang rakyat (dipanggil wang kerajaan), maka rakyat patut mendapat tahu sedalam-dalamnya, bukan saja lembaga pengarah dan pegawai-pegawai Khazanah Nasional Berhad, sebagai syarikat penampung Pos Malaysia, atau pihak yang sama di Pos Malaysia. (Kini Pos Malaysia berada dalam kumpulan DRB-Hicom)

Pos Malaysia mula-mulanya membeli 40 juta saham syarikat Transmile dengan harga lebih kurang RM230 juta, atau RM5.75 tiap satu. Selepas sekian lama memegang saham itu sebagai satu pelaburan, Pos memutuskan hendak menjualnya RM10 satu.

Kemudian, setelah mendapati prospek harganya akan naik lagi, penjualannya ditangguhkan hinggalah disetujui semula dijual pada harga RM12. Pun sekali lagi ditangguhkan untuk memaksimumkan lagi keuntungan.

Tiba masanya harga naik RM14, Pos setuju ia dijualkan dengan harga itu, berjumlah RM560 juta. Kesungguhan ini menjadi kejap apabila sebuah bank mahu membeli kesemua saham itu. Bank itu tahu dengan adanya saham sebanyak itu, ia boleh meletakkan dua ahli lembaga pengarah dalam Transmile.

Namun saya terkejut kenapa saham-saham itu tidak terjual. Akhirnya setiausaha syarikat memberitahu bahawa pihak Khazanah telah mengarahkannya mengikiskan keputusan menjual saham itu daripada rekod, justeru saham-saham itu tidak dijual.

Ada rahsia besar yang hodoh sudah berlaku, mengorbankan kepentingan rakyat. Kerajaan kena bertindak, walaupun ia berlaku 10 tahun dulu.

Tidak berapa lama kemudian, saham-saham itu jatuh merudum ke harga kurang 50 sen hingga diletakkan di bawah PN17, iaitu tahap tidak boleh urus niaga. Kerugian yang dialami sebenarnya lebih daripada RM230 juta. Itu harga beli. Harga yang hendak dijual ialah RM560 juta.

Itulah jumlah kerugian sebenar. Beberapa tahun kemudian, Pos Malaysia dijualkan kepada DRB-Hicom dengan harga kira-kira RM500 juta. Ini bererti saham Transmile sebanyak 40 juta itu tidak bernilai langsung.

Rakyat hanya buat tak tahu saja melihat apa yang berlaku di pejabat pos di seluruh negara. Mereka tidak tahu bahawa pejabat itu mengendalikan berjuta ringgit sehari, kebanyakannya wang masuk.

Ada ketikanya kesilapan besar berlaku di peringkat atas yang melibatkan ratusan juta ringgit, tetapi ia ditutup.

Nasib Pos Malaysia baik sebab wang tunai terus mengalir masuk walaupun wang itu berupa kutipan untuk pihak-pihak lain. Ini membebaskan Pos daripada nasib sesebuah kerajaan negeri atau badan tertentu: masalah membayar gaji.

Lima belas tahun dulu Pos Malaysia mempunyai wang simpanan (reserved fund) sebanyak lebih RM900 juta.

Langkah awal yang dibuat oleh Khazanah ialah mengagihkan wang itu hingga habis langsung.

Bisikan saya kepada pengurusan supaya membeli sebuah kompleks yang mengandungi podium beli-belah, hotel dan bangunan tinggi yang ketika itu ditawarkan dengan harga kira-kira RM500 juta.

Mungkin itulah sebabnya wang itu cepat-cepat dikaup keluar. Jika kompleks itu dibeli, tentu nilainya dalam bilion ringgit, boleh memuatkan ibu pejabat Pos, Pusat Pos Nasional dan lain-lain lagi, di tengah-tengah kota Kuala Lumpur pula.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.