Akta Hasutan masih relevan

A
A

SUSULAN tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat tiga individu yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V menggunakan Akta Hasutan, adalah sebagai langkah menjaga keselamatan negara.

Ketiga-tiganya disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menghasut, menurut satu kenyataan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Ini membuktikan bahawa Akta Hasutan 1948 masih relevan dan disifatkan sebagai undang-undang paling penting dalam negara ini.

Dalam seksyen akta berkenaan dengan jelas menyatakan mana-mana orang yang melakukan atau cuba melakukan atau membuat apa-apa persediaan untuk melakukan, atau berkomplot dengan mana-mana orang untuk melakukan apa-apa perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut, atau jika dilakukan akan mempunyai kecenderungan menghasut merupakan suatu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.

Ini berikutan perkembangan teknologi terutama media sosial telah memberi kebebasan kepada pengguna untuk menggunakan pelbagai aplikasi untuk menghantar, berkongsi atau menyebar kandungan sama ada data, maklumat, gambar, pesanan, video atau teks secara digital. Kebebasan ini juga diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk menghina, atau memperlecehkan institusi raja-raja, kerajaan, organisasi atau pun individu.

Sama ada dengan niat atau tidak, sengaja atau tidak sengaja, tindakan menghina, memfitnah dan memberikan gambaran negatif terhadap pihak lain, boleh diambil tindakan. Apatah lagi jika ia boleh mencetus rusuhan, kacau-bilau atau memecah-belah bangsa dan perpaduan amat bersalahan dan perlu diatasi segera dengan pelaksanaan Akta Hasutan.

Beberapa isu dan sentimen serta insiden masa kini yang dianggap boleh mengancam keselamatan negara sepatutnya diambil tindakan segera agar tidak merebak dan mewujudkan rusuhan antara kaum.

Beberapa akta sedia ada perlu dikuatkuasakan tanpa perlu menggubal atau meminda akta–akta baharu yang memakan masa dan perlu mendapat pengesahan di Parlimen.

Enam akta itu adalah Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959; Akta Pencegahan Keganasan 2015; Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984; Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Berdasarkan klausa, mana-mana pihak yang mencadangkan untuk memansuhkan akta berkenaan berdepan tindakan jika disabitkan bagi kesalahan pertama didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Malahan tindakan mencadangkan untuk menghapuskan akta tersebut juga adalah suatu kesalahan berdasarkan kepada seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948.

Ketegasan pihak berkuasa amat diperlukan. Kelekaan dan kegemaran pengguna yang dengan mudah menghantar dan menyebarkan mesej dan gambar yang diterima daripada sumber lain tanpa berfikir panjang serta meneliti kesahihan, mampu mengundang parah. Kecenderungan untuk menjadi “juara viral”, tanpa siasat kesahihan sesuatu maklumat dan cerita menyebabkan banyak unsur fitnah dan hasutan terus merebak sehingga menjadi agenda publik.

Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multumedia (SKMM) dalam akta memperuntukkan tindakan penguatkuasaan terhadap aduan-aduan melibatkan Seksyen 211.

Menurut seksyen ini memperuntukkan bahawa tiada pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan, atau orang lain yang menggunakan perkhidmatan aplikasi kandungan boleh memberikan kandungan yang berbentuk sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat mengacau, mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.

Antara lain, seseorang yang melanggar subseksyen (1) adalah melakukan satu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Jelasnya, Akta Hasutan masih lagi relevan dan perlu dikekalkan agar tindakan segera boleh diambil untuk mengelakkan rusuhan dan perselisihan kaum.

Kita perlu mengambil iktibar dengan sejarah hitam 13 Mei 1969 akibat kemuncak rasa tidak puas hati antara kaum. Adakah peristiwa ini akan berulang?

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman

Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.