Pelbagaikan pertanian untuk maju

A
A

KEJATUHAN harga barangan mentah pertanian dan bukan pertanian dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini sepatutnya telah mencetuskan pemikiran baharu mengenai pergantungan kita kepada komoditi.

Malangnya, selain tindakan jangka pendek dan sementara, saya tidak nampak kita melakukan proses pemikiran yang luas dan mendalam bagi mengurangkan pergantungan kepada barangan mentah.

Walaupun ekonomi kita telah menjalani proses kepelbagaian yang agak berjaya, khususnya dengan memperluaskan sektor pengilangan dan perkhidmatan, namun begitu dalam sektor komoditi kita terus bergantung kepada petroleum, kelapa sawit, getah dan padi.

Secara peribadi saya pernah membuat dua cadangan yang mungkin dilihat oleh banyak orang sebagai tidak masuk akal atau mustahil untuk dilaksanakan bagi memulihkan sektor pertanian.

Pertama, saya cadangkan agar sawah di rancangan pengairan Mada di Kedah dan Perlis yang pada asalnya meliputi kawasan sawah seluas 96,558 hektar dan membabitkan 63,000 keluarga tani tidak ditanam sekurang-kurangnya dua musim.

Dalam tempoh itu, kesuburan tanah dipulihkan melalui proses organik dan kimia, musuh tanaman, khususnya siput emas, dimusnahkan dan sawah diratakan.

Setelah hampir 50 tahun dikerjakan secara intensif tanpa henti, sawah telah menjadi terlalu berlumpur akibat penggunaan jentera berat seperti pembajak dan mesin penuai. Traktor pembajak biasa beratnya dua tan metrik, manakala mesin penuai jenis Claas yang banyak digunakan boleh mencapai berat melebihi lima tan metrik.

Saya pernah mengupah pakar pertanian antarabangsa dan sebuah universiti tempatan untuk membuat kajian kesuburan ke atas sawah milik ibu saya.

Antara lain mereka mendapati lumpur terlalu dalam dan tahap keracunan (toxicity) tanah terlalu tinggi akibat penggunaan baja kimia serta racun serangga dan rumpai yang berlebihan.

Saya kemudian membelanjakan jumlah yang agak besar mengurangkan keracunan dan meningkatkan kesuburan dengan menabur abu gunung berapi yang diimport dari Indonesia. Tetapi setelah lebih 10 tahun sawah ibu saya itu kembali beracun dan tidak subur.

Cadangan kedua saya buat secara empat mata kepada Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau menjadi Perdana Menteri agar menaikkan taraf semua kawasan tanaman padi utama agar setaraf dengan Sekinchan di Selangor.

Hanya kawasan padi Sekinchan lengkap dari segi pengairan kerana mempunyai “parit gila” – tertiary irrigation. Oleh sebab itulah hasil pengeluaran tertinggi bagi setiap satu hektar di negara kita adalah di Sekinchan.

Najib memberi jawapan serta-merta kepada cadangan saya iaitu, kata beliau terlalu mahal. Saya kata, kalau kerajaan boleh membelanjakan lebih RM20 bilion membina laluan pertama MRT di Lembah Klang masakan ia tidak boleh melakukan sesuatu yang besar untuk penduduk luar bandar?

Saya ingatkan beliau bahawa apabila kerajaan mengapungkan harga petrol pada tahun 2006 (zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri), ia berjanji akan membahagikan penjimatan subsidi petrol secara sama rata.

Itu zaman Abdullah dan Najib. Sekarang kita berada di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan. Jadi saya akan cuba nasib sekali lagi.

Kita naikkan taraf semua projek padi dan kita ubah secara sistematik sebahagian tanah sawah, kelapa sawit dan getah kepada tanaman lain bagi menambah pendapatan petani dan mengurangkan import bahan-bahan manakan.

Kita tidak boleh terus bergantung kepada padi dan kelapa sawit kerana dunia sedang mengalami masalah pengeluaran bijirin minyak (oilseeds) yang berlebihan dan getah menghadapi saingan hebat daripada getah tiruan.

Apabila pengeluaran melebihi permintaan, harga secara automatik jatuh. Inilah yang sedang berlaku kepada kelapa sawit dan getah. Selain pengeluaran yang berlebihan, kelapa sawit mempunyai banyak pesaing seperti jagung, kacang soya, bunga matahari, kelapa dan lemak binatang sama ada sebagai makanan atau dan bahan mentah perindustrian.

Walaupun kelapa sawit penting kepada ekonomi kita, tetapi ia tidak begitu penting dalam perdagangan bijirin minyak dunia. Daripada 573 juta tan bijirin minyak yang dihasilkan pada tahun 2017/18, kelapa sawit menyumbang 18.45 juta tan sahaja.

Langkah mempelbagaikan pertanian, khususnya untuk dimakan, bukan saja akan membantu mengurangkan import malah jika dilaksanakan secara teratur akan mengurangkan harga bahan makanan, menambah pendapatan petani, mengembalikan kesuburan tanah dan mengawal musuh tanaman.

Jadi kita hendaklah berfikiran terbuka dan berani melakukan perubahan. Menteri dan pegawai kita pula janganlah duduk dalam bilik hawa dingin sahaja sebaliknya mereka wajib mengotorkan kaki dan tangan sebagai pahlawan cangkul demi kebaikan negara dan rakyat jelata. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.