Cikgu Rahim kayuh rakit guna kaki dan tangan

Wan Abdul Rahim
Wan Abdul Rahim
A
A
A

CABARAN melalui perjalanan selama tiga jam menaiki rakit semata-mata untuk mencurahkan ilmu kepada anak bangsa menjadi pengalaman berharga yang dikenang sehingga saat ini.

Veteran politik, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang lebih dikenali sebagai Cikgu Rahim memberitahu, pada waktu itu beliau berkhidmat sebagai guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah di Kampung Kandek, Dabong, Kuala Krai, Kelantan kira-kira 40 tahun lalu.

“Saya tenggelamkan kaki perlahan-lahan ke dalam air di sebelah kiri dan kanan rakit serta imbangkan badan supaya tidak jatuh.

“Saya pun menyusuri Sungai Pergau dengan bantuan kayuhan kaki dan tangan saya sehinggalah sampai ke tebing sungai di Kampung Kandek.

“Dalam keadaan dinihari dan matahari baru mula nak keluar, saya tidak sedar yang saya mampu lakukannya.

“Alhamdulillah, selepas hampir tiga kilometer menyusuri sungai, saya selamat sampai dan terus naik ke kampung dan pergi mengajar,” cerita Wan Rahim kepada Sinar Ahad.

Mengenang kejadian itu, katanya, beliau sepatutnya perlu kembali ke Kampung Kandek sehari sebelumnya bersama rakan-rakan selepas mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak di Bukit Jering.

Bagaimanapun, demi semangat perjuangan terhadap parti Pas ketika itu, beliau menangguhkan perjalanan pulang bagi mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Lama Kuala Balah dan berbincang mengenai isu-isu semasa parti selepas tamat perlawanan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Bangsal yang menjadi tempat tinggal Cikgu Rahim di Kampung Kandek, Kuala Krai.
Bangsal yang menjadi tempat tinggal Cikgu Rahim di Kampung Kandek, Kuala Krai.

“Saya sanggup balik sendirian sebab saya mahu berjumpa dengan ahli-ahli Pas di kampung sebelah. Alhamdulillah, esoknya saya sempat datang mengajar.

“Pagi itu, seorang sahabat bernama Zakaria membawa saya menaiki motosikal ke kebun getahnya di Sungai Mempelam.

“Saya terkejut juga, selepas dia tebang buluh, diikat dan bina rakit empat batang buluh yang dikenali sebagai ‘jeriya’, barulah saya faham yang saya perlu balik sendiri ikut arus air Sungai Pergau. Memang ALLAH saja tahu perasaan saya ketika itu. Kalau terjatuh, saya tidak akan sampai ke tahap ini,” kata bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu.

Malah, ceritanya, banyak pengalaman diperoleh sepanjang berada di Kampung Kandek terutamanya apabila beliau disantuni masyarakat kampung yang sangat baik.

Bukan mudah untuk menyesuaikan diri, namun itu bukan alasannya untuk patah semangat dalam mengharungi liku-liku kehidupan semasa bergelar seorang pendidik satu masa dulu.

Dipindahkan ke Kampung Kandek pada tahun 1980 dan menumpang di sebuah rumah buluh peninggalan kuli menoreh getah, memberi 1,001 pengalaman kepada Wan Rahim dalam mengemudi kehidupannya sebagai seorang guru di pedalaman.

Menurutnya, di sana juga beliau merasai pelita ayam atau pelita sumbu berikutan tiada bekalan elektrik.

“Apabila balik rumah di Kota Bharu, barulah terang sikit sebab ada lampu tapi saya bersyukur sebab terpilih menjadi pendidik di sana,” katanya.

Selain itu, Wan Rahim juga memberitahu, beliau terpaksa bersusah payah untuk pulang ke rumahnya di Kota Bharu memandangkan tiada kenderaan yang boleh sampai ke Kampung Kandek selain motor air.

Aktiviti memerai atau menangkap ikan cara orang kampung di Sungai Pergau adalah antara kenangan yang tidak dapat dilupakan Cikgu Rahim.
Aktiviti memerai atau menangkap ikan cara orang kampung di Sungai Pergau adalah antara kenangan yang tidak dapat dilupakan Cikgu Rahim.

Bot laju

Walaupun mempunyai kereta, beliau terpaksa meletakkan keretanya di Kuala Krai ekoran tiada jalan darat ke kampung berkenaan. Beliau perlu menumpang bot laju (motor galah) sama ada untuk ke Kuala Krai setiap kali ingin pulang ke Kota Bharu ataupun ketika kembali bertugas ke Kampung Kandek.

“Masa itu saya ada dua orang anak, yang sulung Najihah dua tahun, dan adiknya Abu Daud setahun. Jadi saya ambil peluang untuk balik ke Kota Bharu setiap minggu kerana rindukan keluarga. Ingatkan mudah, rupanya tidak.

“Selama dua jam saya terpaksa berada di atas motor galah tersebut. Sangat sejuk sebab saya kena bertolak awal pagi, selepas Subuh. Bot pula laju memecah aliran sungai hinggalah sampai ke Tangga Bradley, Kuala Krai.

“Dari situ, saya pandu kereta bermula jam 10 pagi, sampai rumah jam 1 tengah hari. Kalau mahu pulang ke Kampung Kandek pun cara yang sama juga iaitu setiap hari Sabtu.

“Hari Jumaat motor galah tidak beroperasi. Nak atau tidak, kena balik ke Kota Bharu pada setiap Khamis dan pulang ke Kandek setiap Sabtu. Itu sahaja masa yang ada. Bukan mudah untuk menjenguk keluarga ketika itu,” katanya.

Bapa kepada 12 orang anak ini merupakan seorang yang sangat aktif bergiat dalam politik Pas ketika itu, apatah lagi dengan peranannya sebagai Ketua Pemuda Pas Kota Bharu.

Cikgu Wan Rahim pernah membawa pasukan bola sepak Majlis Perbandaran Kota Bharu lawan bola di padang Kampung Kandek bagi mengimbau kembali kenangan bermain bola di padang itu satu masa dulu.
Cikgu Wan Rahim pernah membawa pasukan bola sepak Majlis Perbandaran Kota Bharu lawan bola di padang Kampung Kandek bagi mengimbau kembali kenangan bermain bola di padang itu satu masa dulu.

Bagaimanapun, Wan Rahim melaksanakan tugas parti dengan baik, tanpa mengetepikan tugas hakiki sebagai seorang guru.

Walaupun sudah memiliki 13 cucu, pengalaman sepanjang berada di Kampung Kandek tetap dikongsi daripada generasi ke generasi bagi memberi pendedahan kepada mereka mengenai kehidupan sebenar.

Berakhir kerjaya sebagai guru, beliau tetap bangga dipanggil Cikgu Rahim walaupun semasa berkhidmat untuk parti dan juga ketika menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan dari 1995 hingga 2008.

Sementara itu, walaupun sudah berhijrah kepada Parti Amanah Negara, namun beliau tetap mempunyai 1,001 kenangan bersama bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terutamanya ketika dilantik menjadi Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan pada 1990 sehingga 1993.

No Image Caption

PROFIL

Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah

Jawatan: Veteran politik

Umur: 68 tahun (1952)

Asal: Kelantan

Pencapaian

- Guru (1975-1980-an)

- Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (2019- kini)

- Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (2019-kini)

Politik

- Setiausaha Perhubungan Pas Negeri

- Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (1990-1993)

- Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan (1995-2008)

- Ahli Parlimen Kota Bharu (2018-2013)

- Pengerusi Amanah Kelantan (2015-2019)