Forbes tarik semula gelaran bilionair Kylie Jenner

Kylie Jenner disenaraikan sebagai individu terkaya di dunia pada usia 21 tahun melalui perniagaan kosmetik yang dimilikinya.
Kylie Jenner disenaraikan sebagai individu terkaya di dunia pada usia 21 tahun melalui perniagaan kosmetik yang dimilikinya.
A
A
A

WASHINGTON - Majalah Forbes mengumumkan menarik semula gelaran bilionair bintang realiti televisyen, Kylie Jenner kerana didakwa memalsukan keuntungan sebenar syarikat kosmetik yang dimilikinya.

Forbes yang mengisytiharkan gelaran bilionair muda terhadap selebriti berusia 22 tahun itu pada Mac tahun lalu memaklumkan telah mengeluarkannya daripada senarai jutawan mereka itu semalam.

Awal tahun ini, Jenner dilaporkan menjual 51 peratus kepentingan jenama Kylie Cosmetics miliknya kepada syarikat kecantikan gergasi, Coty pada harga AS$600 juta (RM2.6 bilion) dalam perjanjian yang menjadikan jenama itu bernilai AS$1.2 billion (RM5 bilion).

Bagaimanapun, Forbes melalui sebuah artikel yang diterbitkan di laman webnya berkata, salinan perjanjian tersebut menunjukkan bahawa perniagaan itu sebenarnya jauh lebih rendah dan tidak menguntungkan seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Ia juga menuduh anak bongsu daripada keluarga terkenal itu membuat penyata cukai yang berkemungkinan telah dipalsukan.

"Langkah yang luar biasa telah diambil oleh salah seorang ahli keluarga Jenner menunjukkan betapa terdesaknya sesetengah orang kaya untuk nampak lebih kaya," tulis majalah itu.

Katanya, menurut maklumat baharu dan kesan koronavirus (Covid-19) terhadap penjualan produk kecantikan menyebabkan mereka percaya bahawa dia bukan seorang bilionair, walaupun dia mengaut keuntungan sekitar AS$340 juta (RM1.4 bilion) selepas cukai daripada penjualan kepentingan syarikatnya itu.

Forbes juga menganggarkan bahawa kekayaan peribadi Jenner hanya di bawah AS$900 juta (RM3.9 bilion).

Artikel Berkaitan:

Jenner bagaimanapun tidak berdiam diri apabila membalas kenyataan majalah itu menerusi laman Twitter dan mendakwa Forbes menuduhnya dengan kenyataan yang tidak tepat dan bukti tidak kukuh.

"Saya tidak pernah meminta diberi gelaran tersebut dan cuba menipu untuk mendapatkannya," ciapnya.

Forbes ialah majalah perniagaan Amerika yang menampilkan artikel mengenai kewangan, industri, pelaburan, dan topik pemasaran.

Majalah itu juga terkenal kerana senarai terunggul seperti senarai warga terkaya Amerika Syarikat (Forbes 400) dan senarai jutawan. -Agensi