X

Kindly register in order to view this article
!

Guru, murid tak diwajibkan jalani swab test

Noor Azmi (kiri) ketika meninjau keadaan Masjid Jamek 2, Kuala Kurau hari ini.
A
A

BAGAN SERAI - Ujian calitan (swab test) tidak diwajibkan ke atas semua guru dan murid sekiranya sesi persekolahan kembali dibuka, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Menurutnya, ujian berkenaan hanya dikhususkan kepada kumpulan sasar sekiranya guru atau murid berkenaan tersenarai dalam kontak rapat individu yang mempunyai gejala atau disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19).

"Swab test tidak semestinya dilakukan ke atas semua orang, kalau kita wajibkan semua buat, rakyat Malaysia ada dekat 30 juta, kalau tak cukup (bekalan) lagilah kita panik.

"Kementerian Kesihatan (KKM) telah menetapkan mesti ada asas dan sebab kenapa perlu lakukan ujian itu.

"Contohnya kalau kawasan itu ada yang kena (positif Covid-19), maka mereka yang tinggal keliling, duduk serumah, rakan sekerja atau kontak rapat kenalah jalani ujian untuk pastikan tiada penularan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Masjid Jamek Kedai 2, Kuala Kurau di sini hari ini.

Noor Azmi (kiri) mendengar penerangan daripada jawatankuasa Masjid Jamek 2, Kuala Kurau ketika lawatannya, hari ini.
Noor Azmi (kiri) mendengar penerangan daripada jawatankuasa Masjid Jamek 2, Kuala Kurau ketika lawatannya, hari ini.

Beliau berkata, dari segi pematuhan keselamatan dan kesihatan, ia mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Kementerian Pendidikan.

Katanya, KKM hanya bertindak menasihati Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum SOP itu dibawa ke perbincangan dan diluluskan.

"SOP itu bukan dirangka oleh KKM, samalah kesnya seperti pembukaan industri-industri lain yang mana mereka sendiri akan rangka kaedah-kaedahnya dan dipersembahkan untuk dinilai," katanya.

Dalam lawatan itu, Noor Azmi yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai meluluskan peruntukan RM25,000 untuk kerja baik pulih Masjid Jamek Kedai 2 bagi memberi lebih keselesaan kepada lebih 600 kariah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini memaklumkan bahawa sekolah akan dibuka semula selepas mendapat nasihat daripada KKM dan disertai SOP sesuai mengikut amalan pencegahan Covid-19.

Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin pula dilapor berkata, SOP berkenaan akan memberi penekanan terhadap perubahan sesi pengajaran dan pembelajaran kepada 5.4 juta pelajar seluruh negara dan tarikh pembukaan sekolah akan dimaklumkan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum dibuka.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus