Mengekang pemandu mabuk

A
A
A

BEBERAPA insiden baru-baru ini dilaporkan melibatkan pemandu mabuk yang melanggar orang lain sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian.

Insiden yang berulang-ulang ini menarik perhatian rakyat kerana mereka bimbang jika keadaan ini tidak dikawal, ia akan meragut lebih banyak nyawa termasuk anggota barisan hadapan yang berkhidmat untuk negara.

Kebimbangan rakyat bukanlah rekayasa mereka tetapi mempunyai asas yang kuat kerana kejadian yang berulang kali itu. Hal ini bukan lagi perkara terasing kerana secara berterusan berlaku yang tidak sahaja menyebabkan kematian mangsa yang dilanggar tetapi juga mengakibatkan keluarga mangsa kehilangan orang tersayang dan pencari nafkah. Ia memberi impak kepada keluarga mangsa yang seperti sudah jatuh ditimpa tangga pula.

Sudah sampai waktunya kerajaan mengambil tindakan drastik secara holistik bagi membendung gejala tidak diingini ini melalui tindakan pendidikan, perundangan dan hukuman setimpal.

Perbuatan yang mementingkan diri sendiri sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan juga tidak sejajar dengan nilai dan norma lazim di Malaysia serta tidak berpaksi kepada budaya leluhur mana-mana keturunan dalam negara kita.

Pertubuhan Pembela Ummah (PEMBELA) yang mana Persatuan Peguam-Peguam Muslim menganggotainya dalam satu kenyataan media beberapa hari lalu, antaranya mendesak kerajaan supaya:

1. Melipatgandakan usaha untuk memberi makluman dan pendidikan kepada umum bahaya meminum arak dan mabuk di khalayak awam.

2. Mengawal premis penjualan minuman memabukkan secara ketat dan lesen penjualan itu hanya diberikan dengan jumlah yang tertentu sahaja berdasarkan bilangan penduduk dewasa bukan Islam di sesuatu tempat.

Artikel Berkaitan:

3. Meminda undang-undang dan peraturan bagi:

a) Menyebabkan premis yang menyediakan minuman memabukkan seperti kelab malam, hotel, restoran dan lain-lain bertanggungjawab memastikan pelanggan mereka tidak keluar dari premis mereka dalam keadaan mabuk. Jika pelanggan mabuk, mereka bertanggungjawab untuk menghantar atau menyediakan kenderaan pulang bagi memastikan tiada kemalangan berlaku. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan perniagaan mereka ditutup.

b) Menggubal hukuman lebih berat termasuk hukuman restoratif bagi pemandu mabuk tanpa mengira sama ada mereka terlibat dalam kemalangan atau tidak.

c) Menggubal peraturan khusus bagi pemandu mabuk yang menyebabkan kerosakan awam, kecederaan atau kematian dikenakan tindakan ganti rugi bagi membaiki kerosakan awam, membayar mangsa yang cedera dan keluarga mangsa yang maut, selain pampasan insurans yang diterima.

d) Membatalkan lesen memandu pemandu yang didapati mabuk ketika memandu sama ada terlibat dalam kemalangan atau tidak.

e) Mengehadkan meminum minuman keras di premis persendirian sahaja bagi bukan Islam dewasa dan dilarang secara keras kepada umat Islam.

f) Mengadakan program wajib bagi pemandu mabuk yang pernah terlibat dalam kemalangan dilarang meminum minuman keras dalam tempoh waktu yang panjang dan diuji secara berkala.

PEMBELA tegas mahukan kerajaan membanteras gejala memandu ketika mabuk dan mendesak kerajaan mengambil tindakan-tindakan yang dinyatakan di atas.

Kejadian pemandu mabuk menyebabkan kematian telah lama diperkatakan, namun tindakan drastik tidak diambil pihak kerajaan sama ada dahulu atau sekarang. Kini pihak kerajaan dilaporkan telah membentuk jawatankuasa Kabinet bagi menangani pemandu mabuk.

Mungkin ada yang akan berhujah bahawa orang bukan Islam tidak boleh dilarang minum arak kerana kebebasan asasi atau hak beragama. Namun, perlu diingat yang sangat dipentingkan ialah tidak membawa mudarat kepada orang lain seperti kecederaan dan kematian.

Desakan PEMBELA sangat wajar diberi perhatian pihak jawatankuasa Kabinet tersebut dalam mencari formula menangani pemandu mabuk, yang tidak hanya tertumpu kepada hukuman berat.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia