MPV cuba larikan 500 karton rokok seludup terbakar

Keadaan MPV yang membawa rokok seludup terbabas dan kemudian terbakar.
Keadaan MPV yang membawa rokok seludup terbabas dan kemudian terbakar.
A
A
A

PASIR MAS - Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang didakwa membawa 500 karton rokok seludup terbabas dan kemudian terbakar di Kampung Bechah Kelubi, Chekok di sini, pagi tadi.

Kejadian jam 11.30 pagi itu dipercayai berlaku selepas kenderaan tersebut dikejar oleh Unit Kereta Peronda Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah dan kemudian terbabas sebelum terbakar.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.30 pagi yang memaklumkan ada sebuah kenderaan telah terbakar.

"Sebaik sahaja menerima panggilan itu anggota yang sedang membuat rondaan terus bergegas ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba kami dapati anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas sedang bertungkus lumus memadamkan kebakaran tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Orang ramai melihat anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran.
Orang ramai melihat anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran.

Menurutnya, apabila api berjaya dipadamkan sepenuhnya, pemeriksaan awal telah dilakukan ke atas kenderaan tersebut membawa kepada penemuan 10 kotak berisi rokok seludup dari pelbagai jenama.

Katanya, bagaimanapun sebahagian rokok-rokok yang dijumpai berada dalam keadaan tidak sempurna kerana telah terbakar dan terkena air.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan awal mendapati pemandu kenderaan tersebut tiada di tempat kejadian.

"Setakat ini polis sedang giat mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Mohamad Roy Suhaimi berkata, ketika dikejar oleh Unit Kereta Peronda Polis IPD Tanah Merah, MPV tersebut telah hilang dari pandangan dan bagaimanapun telah dijumpai terbabas di tepi jalan dalam keadaan terbakar tanpa pemandu.

Katanya, berpandukan kepada maklumat penduduk pemandu kenderaan tersebut dilihat telah melarikan diri menaiki sebuah kereta Myvi berwarna biru.