Pengusaha restoran ingkar SOP berdepan saman RM1,000

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Saman maksimum sebanyak RM1,000 boleh dikenakan terhadap pengusaha restoran yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika pelanggan makan di premis mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perbuatan melanggar SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu tertakluk bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Katanya, restoran sebelum ini diberi kelonggaran untuk membenarkan pelanggan makan di premis mereka sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.

"Kalau kita jalankan rondaan dan dapati ada yang tidak patuhi SOP ketika makan di premis, kita boleh beri amaran atau kenakan saman maksimum sebanyak RM1,000.

"Namun, kita harap pengusaha restoran patuh kepada SOP," katanya pada sidang media perkembangan terkini koronavirus (Covid-19) di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai sikap segelintir pengusaha restoran yang membenarkan pelanggan memasuki premis mereka tanpa had dan tidak melakukan penjarakan sosial seperti ditetapkan.

Menurutnya, dalam kes berkenaan pemerkasaan atau kesedaran komuniti termasuk pengusaha restoran dan pekedai sangat penting.

"Kita perlukan kerjasama daripada seluruh rakyat Malaysia untuk patuhi SOP ketika makan di premis.

Artikel Berkaitan:

"Ini penting untuk kita putuskan rantaian penularan Covid-19," katanya.