X

Kindly register in order to view this article
!

Sektor sukan dipertimbang untuk dibuka semula

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

PUTRAJAYA - Bukan sahaja pendidikan bahkan sektor sosial lain seperti sukan mungkin dibenarkan beroperasi semula tidak lama lagi jika kadar kes baharu penularan tempatan koronavirus (Covid-19) dapat terus dikawal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lebih banyak kelonggaran mungkin boleh diberi pertimbangan sekiranya jumlah kes baharu jangkitan wabak itu dalam kalangan penduduk tempatan kekal mencatat dua atau satu angka.

Katanya, setelah lebih 24 hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melihat perkembangan positif apabila merekodkan kadar jangkitan baharu pada dua atau satu angka.

"Selepas tempoh seminggu Hari Raya Aidilfitri juga kita lihat kes rakyat Malaysia yang positif jangkitan Covid-19 hanya 10 kes.

"Ia petanda sangat positif dan kita harap minggu berikutnya kes baharu Covid-19 akan kekal pada satu atau dua angka," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurut beliau, sekiranya angka itu dapat dikekalkan sebelum berakhirnya PKPB atau pada 9 Jun nanti lebih banyak sektor dapat dibuka semula secara perlahan-lahan bergantung kepada situasi semasa.

"Jadi sektor sosial seperti sukan dan pendidikan akan dapat dibuka semula.

"Bagi sektor pendidikan, tumpuan adalah kepada pelajar tingkatan lima dan enam atas kerana mereka akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)," katanya.

Katanya, penularan jangkitan tempatan itu dapat dikawal kerana disiplin sosial dalam kalangan masyarakat dilihat semakin meningkat ketika ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!