X

Kindly register in order to view this article
!

Pindah semula 26 PATI positif Covid-19 ke MAEPS

Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) positif koronavirus (Covid-19) yang sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh akan dipindahkan semula ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia susulan insiden seorang daripada mereka melarikan diri dari wad tetapi berjaya ditahan semula pagi tadi.

"Atas faktor keselamatan, 26 PATI itu akan dimasukkan semula ke MAEPS kerana pusat itu mempunyai kawalan sistem keselamatan yang ketat.

"Hanya rakyat tempatan dan pekerja asing yang mempunyai permit kerja yang sah sahaja akan ditempatkan di Hospital Sungai Buloh untuk rawatan," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan seorang PATI berjaya melarikan diri daripada Hospital Sungai Buloh sebelum ditahan semula dan kembali dimasukkan ke wad hospital tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kehilangan warga asing lelaki berusia 26 tahun wargan Bangladesh itu disedari pagi tadi sebelum pihak hospital melaporkan kejadian itu kepada polis dan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia.

Susulan kejadian itu, katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama rapat dengan pihak polis dan pegawai Imigresen untuk menyiasat bagaimana lelaki itu dapat melarikan diri daripada wad.

"Kita juga akan meningkatkan sistem kawalan keselamatan di MAEPS dari masa ke masa selain memberi tumpuan untuk sediakan rawatan terbaik kepada mereka di situ," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!