Rimau 7's tidak dibubarkan

Pemain-pemain Rimau 7's bersama Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya dan pengendali Rimau 7's, Mohd Saizul Hafifi Md Noor serta barisan kejurulatihan meraikan kejayaan skuad negara meraih pingat perak pada Sukan SEA Filipina 2019.
Pemain-pemain Rimau 7's bersama Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya dan pengendali Rimau 7's, Mohd Saizul Hafifi Md Noor serta barisan kejurulatihan meraikan kejayaan skuad negara meraih pingat perak pada Sukan SEA Filipina 2019.
A
A
A

SKUAD ragbi tujuh sepasukan (Rimau 7’s) kebangsaan tidak akan dibubarkan walaupun wujud program latihan jangka panjang dalam usaha mencipta kejayaan pada Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun.

Sebaliknya menurut Pengarah Prestasi Tinggi Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Dr Ahmad Naim Ismail, hanya kontrak pemain bersama Majlis Sukan Negara (MSN) yang tamat pada Mac lalu tidak disambung selepas berkemungkinan sukan itu tidak dipertandingkan pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.

Katanya, badan induk ragbi negara itu tidak akan menafikan hak pemain Rimau 7's sedia ada selagi mereka mampu beraksi di tahap terbaik.

Tegasnya, pemain muda berpotensi daripada program tersebut adalah barisan pemain Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) hanya akan diserap ke dalam skuad kebangsaan secara berperingkat.

“Setiap kali kejohanan, kita mesti akan kumpulkan barisan pemain terbaik untuk membentuk sebuah pasukan mantap. Jadi kalau mereka (pemain sedia ada) masih lagi terbaik ketika itu, mereka yang akan mewakili negara,” katanya semalam.

“...dan untuk pemain di bawah program latihan jangka panjang pula, selagi mereka tidak mencapai tahap memuaskan untuk mewakili negara, tidak akan ada seorang pun daripada mereka yang akan menyarung jersi kebangsaan,” kata Ahmad Naim.

KRM bersama MSN baru-baru ini mencapai persetujuan melaksanakan program latihan jangka panjang khusus buat pasukan ragbi 7’s lelaki dan wanita negara, dengan lebih tumpuan diberikan kepada barisan pemain berpotensi berusia dalam lingkungan 22 tahun.

Ia bertujuan mempersiapkan skuad ragbi 7’s kebangsaan untuk mencabar Korea Selatan dan Sri Lanka selaku antara empat pasukan terbaik Asia sekali gus membawa pulang pingat sulung pada Sukan Asia 2026.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Naim menegaskan skuad di bawah program MSN itu adalah berasingan dengan skuad kebangsaan yang akan mewakili Malaysia ke kejohanan tertinggi peringkat antarabangsa.

“Program MSN ini adalah berasingan dengan pasukan kebangsaan. Untuk pasukan kebangsaan mestilah kita senaraikan yang terbaik. Untuk makluman, ragbi bukan berada dalam senarai sukan teras tetapi MSN tetap mahu membantu dengan adanya program seperti ini,” jelasnya. - Bernama