ADUN Ampangan kecewa kain rentang ucapan raya diturunkan awal

Kain rentang ucapan raya ADUN Ampangan yang diturunkan malam tadi.
Kain rentang ucapan raya ADUN Ampangan yang diturunkan malam tadi.
A
A
A

SEREMBAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Dr Mohammad Rafie Abd Malek kesal dengan tindakan pengurusan UDA Holdings Berhad yang menurunkan kain rentang ucapan Selamat Hari Raya yang digantung di bangunan UTC Ampangan malam tadi.

Beliau yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan berkata, Pejabat ADUN Ampangan telah membuat permohonan dan mendapat kelulusan untuk meletakkan kain rentang ucapan tersebut kepada pihak pengurusan bermula 23 Mei hingga 22 Jun namun UDA Holdings Berhad telah mengarahkan kain rentang tersebut diturunkan petang semalam.

Beliau tidak menolak ia mempunyai kaitan dengan isu pelantikan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada ahli-ahli politik dan menyifatkan tindakan pihak terlibat menurunkan kain rentang tersebut lebih kepada pemikiran politik sempit.

Mohammad Rafie Abd Malek
Mohammad Rafie Abd Malek

"Kain rentang ini merupakan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri saya selaku ADUN di kawasan tersebut.

"Kain rentang ini membawa jata logo kerajaan Negeri Sembilan sahaja, tiada sebarang logo parti politik tertera pada kain rentang ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, tindakan UDA Holdings Berhad itu juga secara jelas menunjukkan tiada kewibawaan dan nilai profesional.

Terdahulu, kerajaan Perikatan Nasional telah melantik Ahli Parlimen Jelebu iaitu wakil UMNO, Datuk Jalaluddin Alias sebagai Pengerusi UDA Holdings Berhad berkuat kuasa pada 13 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jalaluddin ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu, tindakan menurunkan kain rentang ucapan Selamat Hari Raya oleh ADUN Ampangan itu bukanlah satu isu yang perlu dipolitikkan.

Jalaluddin Alias
Jalaluddin Alias

Beliau berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh pengurusan bangunan bahawa tempoh kebenaran mempamerkan kain rentang itu telah tamat pada 28 Mei, namun tiada sebarang tindakan untuk menurunkannya.

"Saya dimaklumkan Pejabat ADUN Ampang telah membuat permohonan untuk memasang kain rentang tersebut pada 18 Mei lalu dan pihak pengurusan telah membenarkan secara lisan untuk memasang dalam tempoh 10 hari dan tempoh tamat pada 28 Mei.

"Jadi pada semalam, pihak pengurusan perlu menurunkan kain rentang tersebut kerana masih ada ramai lagi yang menunggu giliran untuk memasang iklan bagi mempromosi produk mereka," katanya.

Beliau turut menegaskan, pihaknya telah memberi kerjasama baik kepada semua pihak tanpa mengira fahaman politik, malah pengurusan bangunan juga telah membenarkan pemasangan kain rentang itu secara percuma dalam tempoh 10 hari.