KPDNHEP rampas barang kawalan bernilai RM10,668

Alauddin (dua dari kanan) membuat tinjauan di Pasar Awam Tanjong Karang hari ini.
Alauddin (dua dari kanan) membuat tinjauan di Pasar Awam Tanjong Karang hari ini.
A
A
A

TANJONG KARANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas barang kawalan bernilai RM10,668.30 sepanjang perlaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidilfitri sejak 20 Mei lalu.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) KPDNHEP, Dr Alauddin Sidal berkata, daripada jumlah rampasan itu sebanyak 50 kes pelbagai kesalahan dicatatkan membabitkan pemborong dan peruncit.

Menurutnya, kesalahan tertinggi dicatatkan membabitkan peniaga runcit iaitu 33 kes yang gagal meletakkan tanda dengan nilai rampasan sebanyak RM9,090.30.

"Sebanyak 17 kes lagi menjual barangan melebihi harga maksimum dengan rampasan membabitkan peniaga runcit sebanyak RM1,578," katanya selepas melakukan lawatan di Pasar Awam Tanjong Karang di sini hari ini.

Alauddin berkata, sebanyak RM120,000 kompaun dikeluarkan terhadap pemborong dan peruncit di seluruh negara sepanjang penguatkuasaan tersebut.

Katanya, kompaun tertinggi dicatatkan membabitkan kesalahan melebihi harga maksimum iaitu sebanyak RM80,000 dan tiada tanda harga sebanyak RM40,000.

Menurut beliau, sebanyak 18,825 pemeriksaan dijalankan sepanjang tempoh itu di pasar awam, pasar raya dan premis perniagaan.

Katanya, dari segi pecahan kes di negeri pula, Johor mencatatkan kesalahan tertinggi dengan merekodkan sebanyak 15 kes diikuti Pahang (13 kes), Kuala Lumpur (10 kes) dan Kedah (tujuh kes).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan bagi memastikan pengeluar, pemborong dan peruncit mematuhi skim kawalan harga selain memastikan bekalan mencukupi.