MPK pantau tapak pembinaan cegah wabak Covid-19

Majlis Perbandaran Klang
Majlis Perbandaran Klang
A
A
A

KLANG - Pihak perunding atau kontraktor projek di daerah ini perlu memajukan pelan pencegahan wabak koronavirus (Covid-19) kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebelum sebarang kerja dimulakan.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) menerusi saluran Facebook rasmi iaitu Saluran Komunikasi MPKlang memaklumkan, beberapa perkara perlu dinyatakan dalam pelan tersebut antaranya bilangan pekerja, tempat tinggal, kongsi, rekod keluar dan masuk tapak daripada pembekal serta rekod suhu badan pekerja.

"MPK turut menetapkan prosedur di mana tapak pembinaan yang ingin memulakan kerja di tapak, perunding perlu mengemukakan permohonan memulakan kerja di tapak semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terlebih dahulu.

"Pemohon perlu mengemukakan bersama dokumen-dokumen kelulusan berkaitan sebelum kerja di tapak boleh dimulakan seperti kelulusan/ pengisytiharan syarikat kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Pelan Tindakan Keselamatan Tapak, Kelulusan Pelan Bangunan dan lain-lain seperti yang diletakkan di dalam senarai semak permohonan ini," katanya.

Katanya, peringatan juga diberikan kepada perunding dan pemaju untuk memastikan keperluan ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu dipatuhi di tapak.

Jelasnya, projek yang telah mengemukakan Permohonan Mula Kerja akan direkod dan diadakan lawatan tapak sambil memberitahu pemantauan keseluruhan kawasan Klang juga dibuat secara harian untuk memastikan kerja-kerja binaan di tapak telah mendapat kelulusan rasmi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu.

"MPK akan menyemak sama ada keperluan yang ditetapkan oleh MKN dipatuhi seperti langkah-langkah pencegahan Covid-19 dilaksanakan dit apak, bukti ujian kesihatan telah dibuat untuk pekerja asing dan rekod-rekod berkaitan," katanya.

Menurutnya, MPK boleh mengeluarkan notis berhenti kerja kepada perunding dan pemaju projek sekiranya terdapat beberapa pelanggaran syarat di tapak seperti menjalankan kerja tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Antara aspek yang disemak oleh majlis semasa lawatan tapak diadakan adalah rekod kehadiran pekerja perlu disediakan di tapak.

"Semakan permit pekerja ini adalah di luar bidang kuasa majlis dan berada di bawah semakan pihak Imigresen," katanya.