Tubuh pasukan bertindak kaji fasa pembukaan sekolah

Gambar hiasan. Gambar kecil Ahmad Fakhruddin Fakrurazi
Gambar hiasan. Gambar kecil Ahmad Fakhruddin Fakrurazi
A
A
A

ALOR SETAR - Lajnah Pendidikan Pas Pusat mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) menubuhkan satu pasukan bertindak bagi mengkaji fasa tertentu pembukaan sekolah dalam tempoh pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Fakrurazi berkata, fasa berkenaan perlu membabitkan pemantauan proses pembukaan semula dan mengemukakan cadangan bagi meningkatkan kualiti sistem penyampaian pasca PKP.

"Kerajaan tidak perlu tergesa-gesa mengambil risiko untuk membuka sesi persekolahan dan memadai dengan membenarkan pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 mengikuti kelas pengajian di sekolah.

"China didapati menetapkan pengajian atas talian pada 13 April terutama untuk sekolah rendah dan pelajar peringkat menengah rendah manakala pelajar Tingkat 9 dan Tingkat 12 pula mengikuti sesi pembelajaran pada 27 April," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Ahmad Fakhruddin berkata, sesi pengajian di negara China boleh dijadikan sebagai bahan kajian pemerhatian sebelum membuka seluas-luasnya institusi kepada semua penuntut.

Dalam pada itu, katanya, pembukaan operasi di sektor sosial dan pendidikan masih ditangguh sehingga suasana benar-benar selamat seperti diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam.

"Bagaimana kerajaan menguruskan kaedah pengajaran dan pembelajaran semasa dan pasca PKP dengan lebih berkesan dan efektif juga cabaran utama sektor pendidikan.

"Antara cabaran harus ditempuhi kerajaan ialah mengemukakan satu pelan tindakan jangka pendek dan panjang yang merangkumi prosedur standard operasi (SOP) persekitaran sekolah, takwim pembelajaran dan peperiksaan di peringkat kementerian atau sekolah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penyediaan khidmat kaunseling dan nasihat kesihatan mental serta pengurusan sosial seperti kaedah hubungan kemasyarakatan antara pihak sekolah dan ibu bapa turut diperlukan dalam pelan tersebut.