Pembinaan Santuari Gajah Perak dimulakan tahun depan

Abdul Kadir menunjukkan pelan cadangan Santuari Gajah Perak atau Perak Elephant Santuary (PES) yang akan memulakan pembinaannya, selewatnya awal tahun depan.
Abdul Kadir menunjukkan pelan cadangan Santuari Gajah Perak atau Perak Elephant Santuary (PES) yang akan memulakan pembinaannya, selewatnya awal tahun depan.
A
A
A

GERIK - Kerja-kerja pembinaan Santuari Gajah Perak atau Perak Elephant Santuary (PES) akan dimulakan selewat-lewatnya awal tahun depan dengan kos hampir RM40 juta.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, lokasi bagi tujuan itu telah dikenalpasti di Batu 11, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik dan pihaknya kini dalam rangka terakhir untuk mengazetkan kawasan-kawasan terlibat.

"Kerajaan telah menunjukkan kesungguhan untuk menjayakan program ini dan perancangannya akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

"Kerja-kerja awal termasuk mengukur telah dijalankan dan hasil tinjauan menggunakan dron didapati kawasan itu sangat strategik bagi mewujudkan sebuah pusat santuari gajah.

"Ianya berada di tepi laluan lebuh raya, tetapi masih dikira selamat dengan jarak penempatan penduduk terdekat berada lebih 10 kilometer," katanya selepas memberi taklimat mengenai projek berkenaan kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak di sini hari ini.

Abdul Kadir berkata, kewujudan santuasi berkenaan menjadikan Perak negeri ketiga selepas penubuhan Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka di Terengganu dan Santuari Gajah Johor di Kota Tinggi.

Katanya, ia akan dilengkapi kemudahan asas seperti rumah pekerja, pondok pengawal, tandas, wakaf, pelantar pelepasan, menara pandang, klinik asuhan dan stor makanan.

"Bagi tujuan ekopelancongan, kita cadangkan juga diadakan 'service road' supaya pengunjung boleh menaiki kenderaan dan dapat lihat kawanan gajah yang ditempatkan di situ.

Artikel Berkaitan:

"Untuk jangka panjang, penubuhan santuari ini nanti bukan sahaja usaha memulihara gajah liar yang terancam, tetapi memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan kawasan setempat melalui rangsangan pelancongan yang ada," katanya.

Beliau berkata, ketika ini dianggarkan 100 hingga 120 ekor gajah liar mendiami hutan-hutan simpan di Perak yang dijadikan habitat kepada haiwan berkenaan.

Katanya, terdapat tujuh populasi gajah telah dikenalpasti masing-masing Piah Sungai Siput di daerah Kuala Kangsar dan daerah Hulu Perak meliputi kawasan Piah Lenggong, Papulut, Bintang Hijau, Temengor, Belum dan Pengkalan Hulu.

"Daerah Hulu Perak merekodkan bilangan populasi gajah liar tertinggi iaitu lebih 100 ekor, namun tidak bermaksud kesemua gajah ini mendatangkan konflik.

"Di Perak, konflik antara gajah dan manusia itu memang ada berlaku, tetapi tidaklah sampai ke tahap teruk, cumanya ia mungkin akan meningkat sekiranya habitat mereka terus dikecilkan," katanya.