Akur dalam terpaksa

A
A
A

Usai solat subuh secara berjemaah pada pagi raya, seperti kelaziman saya akan membuka pintu pagar untuk mengalu-alukan kehadiran tetamu bertandang ke rumah. Maklumlah, sebelum ini sewaktu di kampung, usai solat subuh sudah ada kelibat saudara yang singgah untuk beraya di rumah.

Pun begitu, pada pagi itu baru saya teringat bahawa kehadiran tetamu adalah terbatas. Lantaran itu, emosi sedih mula menusuk hati sehingga terbayang semua kenangan manis beraya bersama ahli keluarga terutamanya dengan arwah ayah dan bonda.

Sebetulnya, perasaan sedih kerana tidak bersama dengan ahli keluarga bukan sahaja ada dalam diri saya, namun ada pada semua masyarakat Muslim di Malaysia dan seluruh dunia. Apa yang berbeza adalah jenis kesedihan tersebut. Apa yang nyata, ada yang bersedih kerana beraya keseorangan tanpa ahli keluarga.

Ada juga yang bersedih kerana tidak dapat balik untuk menjenguk ibu bapa yang cukup uzur dan hanya berharap kepada adik-beradik yang lain untuk menjaga ibu bapa kita. Malah ada juga yang bersedih kerana tidak dapat menziarahi individu yang cukup bermakna kepada diri kita selama ini seperti saudara di kampung sebelah ibu dan bapa, bekas guru-guru serta rakan taulan yang menjadi sahabat semenjak kecil lagi.

Bagi perspektif saya, hari raya ini sangat berasa kesedihannya kerana begitu rindu untuk menziarahi kubur ibu bapa serta ibu mertua yang cukup uzur. Bagi mengubati rindu kepada arwah ibu bapa, mujurlah sepupu saya yang cukup tinggi budinya telah sanggup menunjukkan kuburan ibu bapa saya menerusi panggilan video. Walaupun nampak pelik dan seakan-akan melampau, namun itulah caranya dapat mengubat hati ini kerana begitu mendalam kasihnya kepada mereka berdua.

Malah, sebelum ini pun, saya sentiasa masukkan agenda ziarah kubur mereka berdua setiap kali balik ke kampung walaupun jadual yang cukup padat. Begitu juga dengan ibu mertua saya, mujurlah dengan adanya teknologi terkini dapatlah bertanya khabar sekerap mungkin. Pun begitu, walaupun sedih kita perlu akur dengan arahan pemerintah walaupun terpaksa.

Berkaitan dengan patuh kepada pemerintah, daripada Abdullah RA, Nabi SAW bersabda: “Mendengar dan mentaati (pemerintah) adalah wajib bagi setiap Muslim sama ada dalam perkara yang disukai ataupun yang tidak disukai selagi tidak diperintahkan melakukan kemaksiatan. Jika dia diperintahkan melakukan kemaksiatan, maka tidaklah (wajib) dia mendengar dan mentaati.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Menurut syarah daripada hadis tersebut, tanda kehebatan seseorang Muslim adalah mendengar dan patuh kepada pemerintah dan akan menjadi sebab nusrah (bantuan) ALLAH kepadanya.

Pun begitu, selain tidak balik ke kampung kita juga akur untuk melaksanakan solat Aidilfitri di kediaman masing-masing serta cukup terbatas dalam menerima tetamu.

Artikel Berkaitan:

Pada hemat saya, isu ini bukan sahaja melibatkan unsur kepatuhan semata-mata, namun lebih kepada solidariti Muslim sejagat. Apa tidaknya, tanpa pernah ada pengalaman menjadi khatib, jutaan khatib telah dilahirkan di bumi Malaysia dan juga seluruh dunia.

Walaupun dalam media baharu banyak difokus kepada jenis-jenis tongkat khutbah yang digunakan, namun bagi saya, keberanian dan kepatuhan dalam melaksanakan perintah ALLAH dan Rasul itu lebih utama daripada segala-galanya. Malah, solidariti juga ditunjukkan oleh masyarakat Muslim untuk tidak ziarah-menziarahi kerana memegang prinsip dalam agama Islam iaitu, mengutamakan yang utama serta mengelak mudarat yang lebih mudarat.

Oleh itu, hikmah yang paling besar beraya semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah isu solidariti Muslim sejagat. Tambahan pula dengan adanya pelbagai usaha daripada pihak media serta penglibatan beberapa pihak dalam menyemarakkan solidariti Muslim menerusi interaksi dengan al-Quran, telah memperkukuhkan lagi iltizam perpaduan umat Islam di negara kita. Apa yang menarik, kempen ‘Risalah untuk Ayah’ yang dipergiatkan sepanjang bulan Ramadan yang lalu telah menjadi rumusan resipi yang cukup ampuh kepada para ayah agar dapat membimbing semua ahli keluarganya ke syurga nanti. Insya-ALLAH.

Walaupun sedih kita perlu akur dengan arahan pemerintah walaupun terpaksa.”

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis