Lapan ditangkap disyaki terlibat kes tipu wanita RM355,000

Macau Scam
Macau Scam
A
A
A

SANDAKAN - Polis menahan tujuh lelaki dan seorang wanita disyaki terlibat menipu seorang wanita tempatan di sini sebanyak RM355,000.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, suspek warga tempatan berusia 26 hingga 51 tahun itu ditangkap dalam beberapa siri operasi berkaitan kes 'Macau Scam' sejak dua hari lalu di sekitar daerah ini.

"Lapan unit telefon bimbit, 46 keping kad ATM, wang tunai bernilai RM7,138 dan satu cop syarikat serta tujuh keping kad sim dirampas dalam serbuan itu.

"Mangsa seorang kerani sebuah syarikat swasta di sini menerima panggilan telefon pada 27 April lepas menyatakan telah melakukan kesalahan dengan mengirim barang yang tidak dibenarkan melalui pos.

"Mangsa kemudiannya diminta berhubung dengan balai polis di Ipoh untuk menyelesaikan kes tersebut dan diminta memasukkan sejumlah wang ke beberapa akaun untuk menyelesaikan kes, yang mana mangsa akur dan menurut permintaan suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Azhar berkata, mangsa bertindak membuat laporan polis mengenai kes itu di Balai Polis Sandakan pada 14 Mei lalu selepas menyedari diperdaya.

"Semua suspek kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: