X

Kindly register in order to view this article
!

Penunjuk perasaan Minnesota bakar balai polis

Keadaan di Minnesota menjadi huru-hara selepas tunjuk perasaan ekoran kematian George Floyd bertukar menjadi ganas.
A
A

MINNEAPOLIS - Rusuhan di Minnesota berlanjutan sehingga malam tadi apabila bangunan Jabatan Polis Minneapolis dibakar oleh penunjuk perasaan.

Jurucakap polis, John Elder berkata, semua kakitangan diarahkan keluar dari bangunan itu sekitar jam 10 malam (waktu tempatan) sejurus penunjuk perasaan memasuki bangunan tersebut dan memulakan kebakaran.

Katanya, terdapat satu laporan yang belum disahkan mengenai saluran gas bangunan ketiga itu telah dipotong dan terdapat beberapa bahan letupan di dalam bangunan berkenaan.

"Orang ramai di sekitar bangunan itu diarahkan meninggalkan kawasan tersebut kerana kemungkinan akan berlaku kebocoran gas," katanya.

Selain itu, Jabatan Polis St. Paul berkata, susulan rusuhan itu, lebih 170 premis perniagaan juga telah dirosakkan tetapi tiada sebarang kecederaan telah dilaporkan.

Katanya, penunjuk perasaan dilihat menyekat beberapa laluan trafik di pusat bandar Minneapolis.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey melalui Twitternya berkata, pihaknya bekerjasama dengan Balai Bomba Minneapolis sebagai tindak balas terhadap demonstrasi yang berlaku.

Terdahulu, dianggarkan kira-kira 4,000 penunjuk perasaan berarak di pusat bandar Minneapolis bagi memprotes kematian seorang lelaki kulit hitam, George Floyd, yang meninggal dunia apabila seorang anggota polis meletakkan lutut pada leher mangsa ketika menahannya. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus