Penternak rugi RM28,000 kambing boer mati diracun

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang penternak kerugian kira-kira RM28,000 selepas 40 ekor kambing baka boer miliknya mati dipercayai akibat diracun di Kampung Keladang, Salor di sini semalam.

Penternak, Rahimie Ibrahim, 50, berkata dia menyedari perkara itu ketika meninjau kawasan padang ragut tempat kambingnya dilepaskan kira-kira jam 5 petang semalam.

Rahimie berkata, pada awalnya dia hairan kerana tidak ternampak kelibat kambingnya di kawasan itu tetapi selepas meninjau lebih dekat mendapati puluhan kambingnya sudah mati.

"Saya percaya kesemua kambing baka boer ini mati selepas memakan dedak yang dicampur dengan racun oleh pihak tidak bertanggungjawab. Hanya dua ekor anak kambing yang terselamat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Susulan kejadian itu, Rahimie berkata dia membuat laporan polis di Balai Polis Nilam Puri di sini semalam.

Saya beli padang ragut sejak 20 tahun lepas dan menjalankan aktiviti pertanian di kawasan ini sejak sekian lama, namun kematian ternakan adalah kali pertama berlaku.

"Saya harap polis dapat jalankan siasatan terperinci dan menahan pihak yang tidak bertanggungjawab yang melakukan perbuatan khianat ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat. - Bernama

Artikel Berkaitan: