Kluster baharu syarikat pembersihan dikesan

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu iaitu syarikat pembersihan yang melibatkan dua asrama penginapan di Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia selepas terdapat 24 kes positif wabak koronavirus (Covid-19) dikesan di kedua-dua asrama terbabit yang melibatkan warga Bangladesh.

Menurutnya, 20 daripada mereka menginap di sebuah asrama di Kuala Langat, Selangor dan kini dirawat di Hospital Sungai, Buloh, manakala empat kes lagi menginap di sebuah pangsapuri di Nilai, Negeri Sembilan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

"Kes-kes positif ini dikesan oleh sebuah klinik swasta yang telah menjalankan saringan Covid-19 ke atas pekerja-pekerja sebuah syarikat pembersihan.

"Saringan ini telah dijalankan sebagai inisiatif pihak majikan untuk menyaring pekerja mereka di mana secara keseluruhannya, daripada 150 pekerja bukan warganegara dari syarikat tersebut yang telah disaring, 126 kes didapati negatif Covid-19.

"Punca sebenar jangkitan masih disiasat," katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham turut memuji inisiatif yang dilakukan syarikat pembersihan tersebut yang menghantar pekerja mereka untuk menjalankan ujian saringan.

"Kalau kita lihat kepada penemuan kluster baharu ini, kita harus puji majikan (syarikat pembersihan tersebut) kerana majikan sendiri mengambil inisiatif hantar pekerja untuk (lakukan) saring," katanya.

Artikel Berkaitan: